Oleh JT
TAMBUNAN : Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.39 Tambunan mengemukakan cadangan penubuhan sebuah kawasan Parlimen baharu, iaitu Parlimen Tambunan, serta dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang dicadangkan dinamakan DUN Mahua dan DUN Trusmadi.
Cadangan tersebut menjadi agenda utama dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Bahagian, AJK Pergerakan Wanita, AJK Pergerakan Pemuda dan Juruaudit PBS Bahagian N.39 Tambunan yang berlangsung di Pejabat PBS N.39 Tambunan pada isnin lalu.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan cadangan persempadanan semula kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) agar lebih tersusun dan selaras dengan pertambahan penduduk, keluasan geografi serta keperluan pembangunan di seluruh daerah Tambunan.
Cadangan mewujudkan Parlimen Tambunan dilihat sebagai langkah penting untuk memberikan daerah ini perwakilan khusus di peringkat Parlimen. Pada masa ini, Tambunan merupakan sebahagian daripada kawasan Parlimen P.180 Keningau.
Dengan keluasan kawasan, pertambahan jumlah penduduk serta keperluan pembangunan yang semakin meningkat, Tambunan memerlukan sebuah kawasan Parlimen sendiri supaya suara dan kepentingan rakyat dapat diberikan perhatian secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Penubuhan Parlimen Tambunan juga diyakini mampu memperkukuh urusan pentadbiran, mempercepat penyampaian perkhidmatan kerajaan serta memberikan tumpuan lebih khusus terhadap pembangunan infrastruktur, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kebajikan masyarakat luar bandar.
Dalam mesyuarat sama, PBS N.39 Tambunan turut mencadangkan penubuhan dua kawasan DUN baharu, iaitu DUN Mahua dan DUN Trusmadi. Cadangan ini bertujuan memastikan setiap kawasan mempunyai wakil rakyat yang mampu memberikan perhatian lebih dekat terhadap keperluan penduduk.
Pembentukan DUN Mahua dan DUN Trusmadi dijangka dapat memperluas perwakilan rakyat, mengurangkan keluasan kawasan pentadbiran yang perlu ditanggung oleh seorang wakil rakyat serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada kampung-kampung di seluruh Tambunan.
Mesyuarat bersetuju supaya sebuah kertas kerja lengkap disediakan dengan mengambil kira faktor keluasan geografi, jumlah penduduk, kedudukan kampung, sempadan PDM, jaringan perhubungan dan keperluan pembangunan setempat.
Kertas kerja pewujudan Parlimen Tambunan, DUN Mahua dan DUN Trusmadi itu akan dikemukakan kepada kepimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta pihak-pihak berkaitan untuk penelitian dan tindakan selanjutnya mengikut saluran serta proses perundangan yang ditetapkan.
PBS N.39 Tambunan berpandangan bahawa cadangan tersebut bukan sekadar berkaitan penambahan kawasan pilihan raya, tetapi merupakan usaha memperkukuh suara rakyat serta memastikan pembangunan Tambunan dapat dirancang dan dilaksanakan secara lebih seimbang.
Cadangan ini mencerminkan aspirasi agar Tambunan mempunyai perwakilan yang setimpal dengan keluasan wilayah, pertambahan penduduk dan keperluan pembangunan semasa.
