Tidak mengira fahaman politik, MAN DUN Melalap terus bekerja

TENOM:  Mahkamah Anak Negeri (MAN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap akan terus berfungsi demi kepentingan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau yang juga ADUN Melalap berkata, pelantikan ketua-ketua adat dibuat berdasarkan keupayaan mereka berkhidmat kepada masyarakat serta cadangan calon yang lebih sesuai di peringkat kampung.

“Pada kali ini, saya tidak melihat kepada fahaman politik atau perkara-perkara lain. Saya mengekalkan 50 orang penjawat sedia ada kerana mereka boleh bekerja bersama-sama dengan masyarakat.

“Bagi 41 pelantikan baharu, bukan bermakna mereka yang tidak dilantik tidak boleh bekerja, tetapi mungkin ada calon yang lebih baik yang dicadangkan di peringkat kampung,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua-ketua Adat Mahkamah Anak Negeri DUN Melalap di Hotel Perkasa Tenom, hari ini.

Daripada keseluruhan 91 jawatan di peringkat MAN DUN Melalap, sebanyak 41 jawatan diisi melalui pelantikan baharu, manakala 50 penjawat sedia ada dikekalkan.

Jamawi berkata, pelantikan itu menyaksikan 45 peratus muka baharu, manakala 55 peratus merupakan penjawat yang dikekalkan.

Beliau berharap pelantikan berkenaan dapat memberikan kepuasan kepada semua pihak, termasuk parti-parti dalam Kerajaan Negeri Sabah.

Menurutnya, pelantikan itu bukan satu kebanggaan, sebaliknya amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh setiap penjawat bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat kampung.

“Saya katakan ini bukan satu kebanggaan, tetapi pelantikan ini, sama ada penjawat baharu ataupun mereka yang dikekalkan, adalah satu amanah dan tanggungjawab besar yang harus dipikul dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di peringkat kampung,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Melalap telah diselesaikan dua bulan lalu, manakala pelantikan di peringkat Mahkamah Anak Negeri kini turut selesai.

Sehubungan itu, katanya, program-program di peringkat kampung akan digerakkan mulai hujung tahun ini bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai inisiatif dan usaha yang diperjuangkan oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan serta hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Jamawi berkata, penyelesaian urusan pentadbiran di peringkat kampung penting bagi membolehkan pelaksanaan program kerajaan berjalan dengan lebih teratur dan berkesan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif atas usaha menyelesaikan urusan pengeluaran watikah pelantikan berkenaan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Tenom, Alexzander Liew; Ketua Daerah, OKK Tusip Tulas dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Denesly Justin dan Wajahim Simon, Pegawai Tadbir DUN Melalap serta semua pemegang-pemegang adat. 

Dalam program berasingan, Jamawi menyampaikan  sumbangan peralatan bola sepak kepada pasukan SAFA Tenom bagi kategori bawah umur 12 (U12) dan bawah 15 tahun (U15). 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles