KOTA KINABALU: Pertubuhan Komuniti Suluk Bajau Bersatu Malaysia (KSBM) merayu agar Kerajaan Wilayah Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mempertimbangkan penangguhan sementara tindakan perobohan kediaman di Kampung Pondo, Pulau Gaya yang dijadualkan pada 30 November ini atas pertimbangan kemanusiaan dan pendidikan anak-anak penduduk.
Presiden KSBM, Kapten Dr. Zulfikar bin Zulkifli (B), berkata isu penempatan di Kampung Pondo bukan perkara baharu, malah telah berlarutan sejak sekian lama dengan rekod tindakan penguatkuasaan sejak 2002.
Beliau menegaskan bahawa KSBM tidak menentang hak kerajaan untuk melaksanakan pembangunan demi kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, katanya aspek kemanusiaan dan kebajikan masyarakat yang terkesan perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Antara perkara yang menjadi kebimbangan utama KSBM ialah nasib anak-anak penduduk yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, dari 23 November hingga 17 Disember, serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 3, yang berlangsung pada 17 hingga 26 November ini.
Sehubungan itu, KSBM memohon agar tindakan perobohan ditangguhkan sekurang-kurangnya satu hingga dua bulan bagi memberi peluang kepada para pelajar menumpukan perhatian terhadap peperiksaan tanpa dibebani tekanan akibat kehilangan tempat tinggal dan ketidaktentuan keadaan keluarga.
Menurut beliau, tempoh peperiksaan tersebut merupakan fasa penting yang boleh menentukan hala tuju pendidikan dan masa depan anak-anak berkenaan.
“Mereka wajar diberikan ruang dan ketenangan untuk memperoleh keputusan terbaik serta berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
KSBM berpandangan bahawa penangguhan sementara itu tidak bermaksud menghalang atau membatalkan perancangan pembangunan kerajaan, sebaliknya merupakan satu bentuk pertimbangan kemanusiaan bagi memastikan kebajikan penduduk, khususnya generasi muda, tidak terabai.
KSBM berharap agar rayuan tersebut mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Wilayah Sabah serta DBKK demi mencari penyelesaian yang mengambil kira kepentingan pembangunan, tanggungjawab undang-undang dan nilai kemanusiaan serta masa hadapan anak-anak Sabah.
“Pembangunan penting untuk masa depan negeri, tetapi masa depan anak-anak tidak harus terpinggir dalam proses membina kemajuan,” katanya.
