KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Madius Tangau mempersoalkan integriti, kecekapan dan profesionalisme Ketua Audit Negara dalam pengendalian audit Lembaga Tabung Haji (TH) selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati penyata kewangan institusi itu bagi 2017 tidak sepatutnya diberikan Sijil Audit Bersih.
Ahli Parlimen Tuaran itu berkata perkara berkenaan disahkan menerusi jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, terhadap Soalan Lisan beliau di Parlimen.
Menurutnya, jawapan itu menyatakan bahawa walaupun penyata kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 menerima Sijil Audit Bersih bagi 2017, Ketua Audit Negara telah memasukkan Penegasan Perkara (Emphasis of Matter), manakala RCI berpandangan isu yang dibangkitkan sepatutnya dilaporkan sebagai ketidakpatuhan sehingga membawa kepada pendapat audit berteguran (qualified audit opinion).
“Bagaimanakah Sijil Audit Bersih boleh dikeluarkan sedangkan RCI menyimpulkan bahawa perkara-perkara yang dikenal pasti sepatutnya membawa kepada pendapat audit berteguran?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Madius berkata RCI turut mendapati bahawa sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian kira-kira RM1.4 bilion pada 2017, berbanding keuntungan bersih kira-kira RM3.4 bilion yang dilaporkan.
Beliau berkata jawapan Menteri itu juga menyatakan bahawa RCI berpandangan Jabatan Audit Negara sepatutnya menegur TH berhubung pengisytiharan hibah yang tinggi antara 2014 hingga 2017, yang dianggap tidak selaras dengan keupayaan kewangan institusi berkenaan.
Madius turut menyuarakan kebimbangan terhadap kebolehpercayaan laporan-laporan Ketua Audit Negara lain yang telah dibentangkan di Parlimen, memandangkan dokumen berkenaan menjadi rujukan Ahli Parlimen dalam meneliti pengurusan kewangan awam dan memastikan akauntabiliti kerajaan.
“Dapatan RCI ini menjadikan penjelasan daripada Kerajaan perlu bagi menentukan jaminan yang boleh diberikan kepada Parlimen berhubung proses pengauditan serta bagaimana keyakinan terhadap laporan-laporan ini akan dipelihara,” katanya.
Beliau berkata laporan RCI berkenaan telah dibentangkan di Parlimen dan mengandungi 25 syor, dengan 17 daripadanya ditujukan kepada TH manakala lapan lagi kepada pihak lain.
Daripada 17 syor yang ditujukan kepada TH, sebanyak 13 telah dilaksanakan manakala empat lagi masih dalam proses pelaksanaan, menurut jawapan Menteri itu.
Sehubungan itu, Madius menggesa kerajaan dan agensi berkaitan memberikan laporan kemajuan yang terperinci dan berkala kepada Parlimen mengenai pelaksanaan kesemua 25 syor berkenaan, termasuk agensi yang bertanggungjawab, tindakan yang masih belum diselesaikan serta garis masa pelaksanaannya.
Beliau berkata pembentangan laporan RCI sahaja tidak mencukupi sekiranya dapatan yang dikemukakan tidak disusuli tindakan berkesan bagi memastikan akauntabiliti dan memperkukuh pengawasan audit negara.
“Tabung Haji menguruskan simpanan dan amanah jutaan pendeposit. Orang ramai berhak mendapat penjelasan yang menyeluruh tentang bagaimana hasil audit ini boleh berlaku serta apakah langkah perlindungan yang akan diwujudkan bagi mengelakkan perkara seumpama ini berulang,” katanya.
