KOTA KINABALU: Sabah International Beauty Expo (SIBEX 2026) bakal kembali menggemparkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dari 4 hingga 6 Disember 2026 depan.
Ekspo berskala besar selama tiga hari ini diadakan bagi menghimpunkan jenama kecantikan, profesional industri, pemain perniagaan serta pengguna dalam satu platform yang meraikan pesatnya perkembangan dunia kecantikan.
Dianjurkan oleh ESM Exhibitor Relations Malaysia dengan membawa tema “3 Days to Be Beautiful”, acara berprestij ini menyasarkan kehadiran sehingga 50,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.
Menurut Pengarah Urusan ESM Exhibitor Relations Malaysia (Sabah), Datuk Dayang Haja Khatijah Datu Haji Bachtiyal, pelbagai kategori menarik bakal dipamerkan, merangkumi penjagaan kulit, kosmetik, penjagaan rambut, kecantikan profesional, wellness, salon, spa, serta pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan.
SIBEX 2026 turut memperkenalkan platform hibrid B2C dan Direct B2B yang membolehkan jenama berinteraksi secara langsung dengan pengguna akhir di samping membuka ruang rangkaian perniagaan bersama pengedar, peruncit, salon, spa dan rakan niaga berpotensi.
Platform Unggul untuk Jenama Tempatan dan Antarabangsa
Pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan penggiat industri dari Sabah, seluruh Malaysia, serta peringkat antarabangsa untuk meneroka potensi pasaran yang semakin berkembang pesat di rantau Borneo.
“Sabah mempunyai pasaran pengguna yang kukuh dan semakin berkembang. Kami percaya ada potensi besar untuk jenama kecantikan mengembangkan pasaran mereka di Sabah dan seterusnya ke seluruh Borneo,” jelas Datuk Dayang Haja Khatijah.
Selain itu, ekspo ini turut memberi tumpuan khusus kepada usahawan dan jenama tempatan Sabah bagi meningkatkan pendedahan pasaran serta memperluaskan rangkaian pelanggan baharu.
Pengunjung yang hadir berpeluang menikmati pelbagai tarikan antaranya tawaran eksklusif dan harga promosi Istimewa, pemberian sampel serta hadiah percuma, demonstrasi kecantikan dan aktiviti solekan secara langsung serta pameran serta pelancaran produk terkini
Kemasukan pameran adalah percuma dan SIBEX 2026 diharap dapat menjadi platform mesra pengguna yang memudahkan masyarakat mengenali produk baharu di pasaran.
Pada masa yang sama, pameran ini diharap dapat memartabatkan Kota Kinabalu sebagai hab serantau.
Penganjuran SIBEX 2026 adalah sebahagian daripada usaha strategik jangka panjang untuk memposisikan Kota Kinabalu sebagai destinasi utama penganjuran ekspo industri bertaraf serantau, sekali gus mengangkat Sabah sebagai pintu masuk penting ke pasaran kecantikan Borneo.
“Sehubungan itu, kami sebagai penganjur berharap penduduk Kota Kinabalu akan datang memberikan sokongan dan menjadi sebahagian daripada kami.
“Jangan lupa Tarikh 4-6 Disember ini di SICC. Hanya ‘tiga hari untuk menjadi jelita,” kata Dayang Haja Khatijah
