SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N55 Elopura, YB Calvin Chong Ket Kiun, menggesa Kerajaan Negeri Sabah memberikan penjelasan yang lebih terbuka dan terperinci berhubung isu foto yang memaparkan pegawai kanan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) bersama seorang ahli perniagaan Sabah di sisi sebuah jet peribadi yang tular sebelum ini.
SMM merupakan sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah dan isu yang melibatkan pegawai kanan syarikat tersebut sememangnya mempunyai kepentingan awam.
Oleh itu, persoalan mengenai perjalanan tersebut bukan sekadar berkaitan sekeping gambar, tetapi menyentuh soal tatakelola, ketelusan, pengisytiharan kepentingan serta penggunaan kemudahan yang mempunyai nilai yang tinggi.
Berdasarkan laporan media, perjalanan tersebut berlaku pada Ogos 2024 dan bekas CEO SMM, Jontih Enggihon, sebelum ini membuat laporan polis dengan mendakwa perjalanan menggunakan jet peribadi itu bernilai kira-kira RM400,000.
Beliau turut mendakwa wujud persoalan berkaitan konflik kepentingan kerana perjalanan tersebut dikatakan melibatkan individu yang mempunyai kepentingan dalam urusan berkaitan sumber mineral Sabah.
Pada masa yang sama, SMM telah memberikan penjelasan bahawa perjalanan tersebut merupakan sebahagian daripada lawatan kerja ke Indonesia berkaitan proses pelaburan langsung asing (FDI).
SMM juga menyatakan bahawa kedua-dua pegawainya telah memberikan kerjasama kepada SPRM dan siasatan dalaman yang selesai pada Februari 2025 tidak menemukan salah laku, konflik kepentingan atau keuntungan peribadi.
Namun begitu, penjelasan tersebut tidak seharusnya menutup ruang kepada persoalan awam.
Sebagai ADUN Pembangkang, YB Calvin Chong menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak mengetahui secara jelas bagaimana perjalanan tersebut diatur, siapa yang menanggung kos penerbangan, atas kapasiti apakah penerbangan itu digunakan dan sama ada semua prosedur serta kelulusan dalaman SMM telah dipatuhi.
Pertama, Kerajaan Negeri perlu menjelaskan sama ada perjalanan menggunakan jet peribadi tersebut telah dimaklumkan dan mendapat kelulusan sewajarnya daripada Lembaga Pengarah SMM sebelum perjalanan dibuat.
Kedua, sekiranya benar kos perjalanan tersebut mencecah kira-kira RM400,000 seperti yang dilaporkan sebelum ini, rakyat berhak mengetahui siapakah yang menanggung kos tersebut dan apakah justifikasi rasmi penggunaan jet peribadi berbanding kaedah perjalanan biasa.
Ketiga, Kerajaan Negeri perlu menjelaskan sama ada semua individu yang menaiki penerbangan tersebut mempunyai urusan rasmi dengan SMM dan apakah agenda rasmi yang dijalankan sepanjang lawatan tersebut.
Keempat, sekiranya terdapat pihak swasta atau individu yang mempunyai kepentingan dalam sektor perlombongan atau sumber mineral Sabah dalam perjalanan tersebut, perkara itu perlu dijelaskan secara terbuka bagi mengelakkan sebarang persepsi konflik kepentingan.
YB Calvin Chong turut menegaskan bahawa persoalan ini tidak bermaksud membuat kesimpulan bahawa telah berlaku rasuah atau salah laku. Sebaliknya, isu ini perlu dilihat dari sudut akauntabiliti sebuah syarikat milik kerajaan negeri yang menguruskan kepentingan dan sumber mineral Sabah.
“Apabila sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri terlibat dalam sesuatu isu yang menimbulkan persoalan awam, rakyat berhak mendapatkan jawapan yang jelas. Penjelasan mestilah berdasarkan dokumen, prosedur dan fakta, bukan sekadar penafian atau kenyataan umum,” tegas beliau.
Menurut YB Calvin, Kerajaan Negeri juga tidak wajar melihat persoalan yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang sebagai serangan politik semata-mata. Sebaliknya, teguran daripada wakil rakyat adalah sebahagian daripada fungsi semak dan imbang bagi memastikan syarikat berkaitan kerajaan negeri sentiasa beroperasi dengan prinsip integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.
“Kalau semua prosedur telah dipatuhi dan perjalanan tersebut benar-benar merupakan lawatan kerja rasmi, maka amat mudah untuk Kerajaan Negeri dan SMM menjelaskan perkara tersebut secara terbuka dengan mengemukakan fakta dan rekod yang berkaitan,” katanya.
YB Calvin Chong juga menyeru agar sebarang siasatan atau proses undang-undang yang berkaitan diberikan ruang untuk berjalan tanpa campur tangan. Pada masa yang sama, hak rakyat untuk mendapatkan maklumat mengenai pengurusan syarikat milik kerajaan negeri juga perlu dihormati.
“Sabah mempunyai sumber mineral yang besar dan bernilai. Pengurusan sumber tersebut mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab kerana ia adalah aset rakyat Sabah. Kepercayaan rakyat hanya dapat dipelihara apabila setiap keputusan yang melibatkan kepentingan awam boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.
Sehubungan itu, YB Calvin Chong menggesa Kerajaan Negeri Sabah dan SMM memberikan penjelasan rasmi mengenai perjalanan tersebut, termasuk tujuan perjalanan, sumber pembiayaan, kelulusan Lembaga Pengarah serta rekod rasmi lawatan berkenaan.
Rakyat Sabah tidak meminta lebih daripada ketelusan. Jika tiada salah laku, jelaskan dengan fakta. Jika terdapat persoalan, siasat dan jawab secara terbuka.
