KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada atlet karate kelahiran Tambunan, Adeola Fay Robert, atas kejayaan cemerlang meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.
Azizah berkata, kejayaan atlet berusia 20 tahun itu bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Sabah, malah membuktikan bahawa anak-anak negeri ini mempunyai bakat, disiplin dan kemampuan untuk bersaing serta mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
“Adeola membuktikan anak Sabah mampu pergi jauh. Dengan peluang, sokongan, latihan dan ruang pembangunan yang berterusan, atlet muda kita mampu berdiri sama tinggi dengan atlet terbaik Asia dan dunia.
“Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan peribadi Adeola, tetapi kemenangan yang cukup membanggakan bagi Sabah dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adeola mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 dalam final acara kumite wanita bawah 55 kilogram di Gimnasium Toyohashi.
Sebelum melangkah ke final, Adeola menewaskan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada separuh akhir. Beliau turut mencatat kemenangan 9-1 ke atas Asrar Jasem dari Kuwait dan menewaskan Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan 8-7 pada pusingan terdahulu.
Menurut Azizah, pencapaian itu lebih bermakna apabila melihat perkembangan konsisten Adeola dalam arena karate, daripada membawa cabaran Sabah di peringkat kebangsaan sehingga diberi kepercayaan menggalas cabaran Malaysia di pentas Asia.
Pada SUKMA XXII Selangor 2026, Adeola meraih emas acara kumite wanita -61kg sebelum turut memainkan peranan membantu skuad kumite berpasukan wanita Sabah memenangi pingat emas.
“Daripada gelanggang SUKMA membawa nama Sabah, kini Adeola berdiri di pentas Sukan Asia membawa Jalur Gemilang. Perjalanan ini memperlihatkan bagaimana seorang anak muda Sabah mampu berkembang menjadi juara apabila bakatnya diasah secara berterusan.
“Adeola adalah inspirasi kepada anak-anak muda Sabah, khususnya atlet wanita. Kejayaan beliau membawa mesej bahawa asal-usul dan tempat kita dilahirkan bukan penghalang untuk mengejar kejayaan di peringkat tertinggi,” katanya.
Azizah berkata, kejayaan Adeola juga harus menjadi dorongan untuk terus memperkukuh pembangunan sukan di Sabah, khususnya usaha mengenal pasti bakat muda dari daerah dan luar bandar serta menyediakan latihan, kemudahan dan pendedahan kompetitif yang mencukupi.
Beliau berkata Sabah mempunyai ramai atlet berbakat yang berpotensi diketengahkan sekiranya diberikan sokongan dan laluan pembangunan yang tersusun.
“Kita mahu lebih ramai Adeola dilahirkan dari Sabah. Bakat anak-anak kita perlu dicari, diasah dan diberikan peluang supaya mereka bukan sahaja menjadi juara di negeri sendiri, tetapi mampu membawa nama Sabah dan Malaysia ke persada dunia.
“Syabas dan tahniah Adeola. Seluruh rakyat Sabah berbangga dengan kejayaan ini. Teruskan melangkah, teruskan mencipta kejayaan dan terus harumkan nama Sabah serta Malaysia,” katanya.
Kejayaan di Aichi-Nagoya turut meneruskan momentum positif Adeola selepas beliau meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025. Emas berkenaan juga menamatkan penantian Malaysia untuk pingat emas karate wanita Sukan Asia sejak kejayaan Syakilla Salni pada edisi Incheon 2014.
