KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa berkaitan mencari penyelesaian terbaik bagi mengurangkan beban bil elektrik rakyat, terutama ketika masyarakat berdepan tekanan kos sara hidup.
Pengerusinya, David Chan, berkata isu kos elektrik perlu diberikan perhatian serius kerana kesannya bukan sahaja dirasai pengguna domestik, khususnya kumpulan B40 dan M40, malah turut mempengaruhi kos operasi sektor perniagaan.
Menurutnya, elektrik merupakan keperluan asas dan pada masa sama menjadi antara komponen kos utama bagi restoran, hotel, kilang, sektor pertanian, peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelbagai industri lain.
“Apabila kos elektrik meningkat, kos menjalankan perniagaan juga berpotensi meningkat. Keadaan ini akhirnya boleh memberi kesan kepada pengguna sekiranya sebahagian kos tambahan itu diterjemahkan kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Dalam keadaan rakyat sedang berjimat dan menyusun perbelanjaan harian, kita perlu memastikan sebarang perubahan kos keperluan asas tidak menambahkan lagi tekanan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, David berkata, YPNM Sabah berharap Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tenaga berkaitan dapat memberikan penjelasan secara jelas dan telus berhubung faktor pelarasan tarif elektrik, termasuk langkah yang sedang atau bakal dilaksanakan bagi mengurangkan kesannya.
Katanya, YPNM Sabah turut mengambil perhatian terhadap langkah Kerajaan Sarawak memperkenalkan diskaun 25 peratus bil elektrik kepada pengguna domestik bagi tempoh April hingga Disember 2026.
“Langkah itu boleh menjadi antara rujukan untuk melihat apakah bentuk mekanisme bantuan yang bersesuaian dengan keadaan dan kemampuan Sabah.
“Persoalannya, apakah bentuk bantuan tambahan yang boleh dipertimbangkan di Sabah bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup?” katanya.
David berkata, YPNM Sabah memahami pembangunan, penyelenggaraan dan peningkatan sistem bekalan elektrik negeri memerlukan pelaburan besar, terutama bagi memastikan Sabah mempunyai bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pembangunan masa hadapan.
Bagaimanapun, katanya, keseimbangan perlu dicapai antara keperluan memperkukuhkan sistem tenaga dengan kemampuan pengguna untuk membayar.
Justeru, YPNM Sabah mencadangkan supaya beberapa pilihan diteliti termasuk rebat atau diskaun elektrik secara bersasar kepada isi rumah yang memerlukan, bantuan kepada PKS serta mekanisme bantuan sementara bagi mengurangkan tekanan kos terhadap pengguna dan perniagaan.
“Kerajaan perlu mencari penyelesaian yang bukan sahaja dapat memperkukuhkan sistem tenaga Sabah, tetapi pada masa sama membantu mengurangkan beban rakyat dan menyokong kegiatan ekonomi.
“Elektrik adalah nadi ekonomi. Bekalan yang stabil dan pada kadar mampu ditanggung pengguna penting bukan sahaja kepada isi rumah, malah kepada perniagaan, pelaburan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi Sabah,” katanya.
David berharap suara pengguna diberikan perhatian dan sebarang langkah berkaitan kos elektrik mengambil kira keadaan sebenar rakyat.
“Jangan biarkan peningkatan kos keperluan asas menjadi satu lagi tekanan kepada rakyat Sabah ketika mereka sedang berdepan cabaran kos sara hidup.
“Penyelesaian yang seimbang perlu dicari supaya keperluan memperkukuhkan sektor tenaga dapat berjalan seiring dengan kepentingan dan kemampuan rakyat,” katanya.
