KOTA KINABALU: ADUN Inanam Edna Jessica Majimbun menggesa agensi berkaitan mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah banjir berulang di Kolombong selepas kawasan itu sekali lagi dilanda banjir susulan hujan lebat.
Edna berkata kejadian pada 22 Sept itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai masalah yang menurutnya sudah berulang kali dihadapi penduduk.
“Penduduk Kolombong sudah terlalu kerap berdepan dengan masalah yang sama. Sudah tiba masanya kita mencari jalan penyelesaian yang sebenar, bukan sekadar bertindak selepas banjir berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menggesa agensi berkaitan dan pihak berkuasa teknikal duduk semeja bagi menjalankan penelitian menyeluruh terhadap punca kejadian.
Menurutnya, aspek sistem perparitan dan saliran, aliran air serta penyelenggaraan infrastruktur perlu diteliti bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada banjir.
Edna berkata pendekatan menangani masalah itu tidak seharusnya hanya bersifat sementara setiap kali banjir melanda.
Sebaliknya, katanya, penyelesaian konkrit dan terancang diperlukan bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang serta memastikan tanggungjawab setiap agensi dalam melaksanakan langkah berkenaan diperjelaskan.
Edna merupakan ADUN N18 Inanam, manakala Kolombong termasuk dalam kawasan pilihan raya negeri berkenaan.
“Apa yang diperlukan sekarang bukan sekadar tindakan sementara apabila banjir berlaku, tetapi satu penyelesaian yang konkrit, terancang dan mampu mengurangkan risiko masalah ini daripada terus berulang,” katanya.
