ESSCOM diseru perhebat ‘omnipresence’ keselamatan di resort

TAWAU : Pasukan keselamatan khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) diseru mempertingkatkan kehadiran atau ‘omnipresence’ di perairan pantai timur Sabah, terutama berhampiran resort pelancongan, bagi mengekang jenayah dan memberikan amaran psikologi kepada individu yang berniat jahat.

Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto, berkata kehadiran anggota keselamatan secara konsisten mampu meningkatkan keyakinan pelancong selain menjadi elemen pencegahan jenayah.

Beliau turut memuji tindakan pantas pasukan keselamatan memberkas individu yang disyaki cuba mencabul pelancong wanita dari China di Semporna baru-baru ini.

“Tindakan pantas itu membuktikan komitmen pasukan keselamatan dalam melindungi pelancong dan memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat.

“Bagaimanapun, kita berharap kejadian seumpama ini tidak berulang kerana keselamatan pelancong perlu menjadi keutamaan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, insiden jenayah seksual terhadap pelancong bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa, malah berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap Sabah, khususnya dalam kalangan pelancong dari China.

Katanya, penyebaran insiden berkenaan menerusi media dan media sosial China boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan bakal pelancong, sekali gus menjejaskan keyakinan mereka untuk berkunjung ke resort di Semporna.

“Publisiti negatif, terutama membabitkan keselamatan pelancong, boleh menjejaskan industri pelancongan Sabah sekiranya tidak ditangani secara profesional, pantas dan telus.

“Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini kerana reputasi destinasi pelancongan yang dibina bertahun-tahun boleh terjejas akibat satu insiden jenayah,” katanya.

Zaki berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah meningkatkan rondaan laut dan pesisir pantai, khususnya di kawasan berhampiran resort, selain memperkukuh kerjasama antara ESSCOM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengusaha resort dan agensi berkaitan.

Beliau turut mencadangkan supaya resort memperketat prosedur keselamatan, termasuk kawalan akses, pemantauan kawasan berisiko, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta penyediaan saluran aduan kecemasan yang mudah diakses pelancong.

“Pengusaha resort juga perlu memastikan pekerja diberi latihan pengendalian insiden, termasuk gangguan seksual, selain menyediakan prosedur tindakan segera bagi melindungi mangsa dan membantu siasatan pihak berkuasa.

“Pada masa sama, rondaan beruniform dan kehadiran aset keselamatan secara berkala perlu dipertingkatkan sebagai langkah pencegahan serta amaran psikologi kepada mereka yang mempunyai niat melakukan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan komunikasi krisis yang cekap juga penting bagi memastikan maklumat tepat disampaikan kepada orang ramai dan pelancong, tanpa menjejaskan privasi mangsa atau proses siasatan.

Menurutnya, keselamatan pelancong bukan tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama pengusaha resort, komuniti setempat dan semua pihak berkepentingan.

“Kita mahu pelancong, khususnya dari China, terus berasa selamat dan yakin memilih Sabah sebagai destinasi percutian.

“Keselamatan yang terjamin bukan sahaja melindungi pelancong, malah menjadi asas penting kepada kelangsungan industri pelancongan dan ekonomi Sabah,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles