KIULU: Lebih 200 anggota keturunan Gontuk dari pelbagai daerah berhimpun dalam Pitimungan Keluarga Gontuk di Dewan Kampung Tompinahaton, Kiulu, baru-baru ini, sekali gus mengukuhkan ikatan kekeluargaan yang diwarisi turun-temurun.
Perhimpunan itu menghimpunkan keturunan Gontuk dari Kampung Tompinahaton, Sinorut, Polod dan Pinahawon di Kiulu, selain ahli keluarga dari Kota Marudu, Ranau dan Keningau.
Keturunan Gontuk merangkumi lima cabang utama iaitu Lipot, Kihim, Girod, Eyangat dan Sodom, yang terus memelihara hubungan kekeluargaan walaupun sebahagian ahli keluarga kini menetap berjauhan.
Pengerusi penganjur, Gundohing Joluin Joiruh, berkata Pitimungan Keluarga Gontuk bukan sekadar medan pertemuan, tetapi wadah untuk memperkukuh kesatuan keluarga serta memastikan generasi muda terus mengenali asal-usul dan susur galur mereka.
Beliau berharap perjumpaan itu dapat diteruskan pada masa akan datang agar hubungan kekeluargaan kekal utuh serta menjadi warisan yang dapat diteruskan oleh generasi seterusnya.
Dalam pada itu, Joluin berkata pihak keluarga turut merancang memperkukuh dana keluarga Gontuk bagi menyokong aktiviti serta kebajikan anggota keluarga. Beliau turut mengumumkan YB Datuk Joniston Bangkuai sebagai Penaung Persatuan Keluarga Gontuk.
Sementara itu, YB Datuk Joniston Bangkuai yang hadir sebagai tetamu kehormat berkata ikatan keluarga yang kuat merupakan satu kekuatan penting dalam kehidupan, khususnya dalam memastikan anggota keluarga sentiasa saling membantu ketika berdepan pelbagai keadaan dan cabaran.
Beliau menyifatkan perhimpunan itu sebagai satu usaha positif dalam memelihara warisan kekeluargaan dan berharap semangat kebersamaan tersebut terus disemai dalam kalangan generasi muda keturunan Gontuk.
Pitimungan Keluarga Gontuk bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim, malah menjadi simbol bahawa walaupun berbeza tempat tinggal dan dipisahkan jarak, akar keturunan yang sama tetap mampu menyatukan sebuah keluarga besar.
