STARSabah tekad bawa isu tuntutan MA63 ke ICJ jika tidak dilaksanakan ‘bulat-bulat’

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STARSabah) bertekad membawa isu tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), sebagai langkah terakhir, jika ia tidak dilaksanakan ‘bulat-bulat’ atau sepenuhnya.

Presiden STARSabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan melaksanakan sepenuhnya semua tuntutan MA63 selepas 63 tahun berada dalam persekutuan Malaysia.

“Inilah naratif baharu perjuangan kita. Kita mahu kerajaan pusat laksanakan tuntutan MA63 bulat-buat…kita sudah merdeka 63 tahun tetapi masih banyak perkara (MA63) yang selesai.

“Dalam mana-mana perjanjian, (sepatutnya) jika gagal dilaksanakan sepenuhnya, perjanjian itu dengan sendirinya akan terbatal. Sebab itu, jika MA63 tidak dilaksanakan sepenuhnya, kita akan bawa isu ini ke ICJ,”  katanya.

Jeffrey berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun STARSabah Ke-10 di sini malam Sabtu. 

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Datuk Kenny Chua, Pemangku Timbalan Presiden Datuk Lawrence Gimbang dan Datuk Mohd Ishak Ayub, dan Setiausaha Agung STARSabah Senator Datuk Edward Linggu

Jeffrey turut menyingkap sejarah pembentukan persekutuan Malaysia iaitu

Sabah, Sarawak, dan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk sebagai rakan kongsi yang setara (equal partners) di bawah MA63.

“Rakyat Sabah wajar tahu sejarah ini. Di bawah MA63 status kita setara dengan Sarawak, dan Persekutuan Tanah Melayu. 

“Kita dalam STARSabah akan terus berjuang mempertahankan status samarata ini,” katanya.

Jeffrey juga meminta Kerajaan Persekutuan melaksanakan sepenuhnya hak wilayah Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk pemberian 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah.

Mengenai hal tuju STARSabah, Jeffrey yang juga ADUN Tambunan dan anggota Parlimen Keningau berkata pencapaian kurang memberangsangkan dalam pilihan raya negeri (PRN) yang lepas tidak mematahkan semangat parti itu terus berjuang untuk rakyat dan negeri Sabah.

“Perjuangan kita belum selesai. Misi kita ialah mahu melihat Sabah maju, makmur dan merdeka.

“Ada (pemimpin parti kita) yang sabar dan ada yang tidak…ini perkara biasa dalam politik. Dalam politik, ada masanya kita di bawah ada masanya kita bangkit.

“Kita tinggalkan episod PRN lepas, dan move forward (bergerak ke hadapan). Marilah kita tingkatkan usaha perkuatkan parti di semua peringkat dan bersedia menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Jeffrey turut menekankan pentingnya parti-parti tempatan Sabah bersatu demi kebaikan dan masa depan negeri ini.

“Kita mahu parti-parti tempatan sehati sejiwa dalam menperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles