KOTA KINABALU: Semua kementerian dan agensi yang terlibat telah diarahkan untuk memberi tumpuan kepada penyelesaian baki isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud menyatakan keputusan ini diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang berlangsung di Putrajaya hari ini.
Mustapha, yang mewakili Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, memimpin mesyuarat tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof sedang menjalani rawatan kesihatan.
Mustapha juga menyatakan bahawa antara perkembangan penting yang dicatatkan adalah peningkatan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion untuk tahun 2026.
Selain itu, katanya, kejayaan lain termasuk penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri Sarawak pada 21 Julai 2026.
“Kedua-dua pencapaian ini menunjukkan bahawa pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan Madani bukan hanya memenuhi komitmen yang telah dibuat sebelum ini, tetapi juga berkembang secara dinamik mengikut keperluan semasa dan aspirasi rakyat Sabah serta Sarawak,” ujarnya.
