Laluan alternatif, Loji Air Melalap antara keutamaan atasi kesesakan dan bekalan air di Tenom

TENOM: Cadangan pembinaan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan trafik di Pekan Tenom serta pelaksanaan Loji Air Melalap bernilai RM42 juta menjadi antara keutamaan pembangunan yang sedang diusahakan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan bekalan air di kawasan Tenom dan Melalap.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama Pegawai Daerah Tenom, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Daerah Tenom di sini hari ini.

Beliau berkata, satu mesyuarat telah diadakan untuk memuktamadkan laluan jalan alternatif untuk mengurangkan kesesakan jalan di laluan SM Tsung Shin, SM St Anthony, SM Chung Hwa dan SRJK Chung Hwa Tenom. 

“Cadangan asal ialah pembinaan laluan alternatif oleh JKR dengan anggaran kos sekitar RM12 juta dan permohonan telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan pada awal tahun ini. Bagaimanapun, sehingga kini kelulusan masih belum diperoleh.

“Sehubungan itu, kita mengambil inisiatif menyediakan laluan alternatif sementara yang akan melalui beberapa tanah persendirian. Hasil perbincangan bersama pemilik tanah, mereka telah bersetuju membenarkan laluan sementara diwujudkan demi kemudahan rakyat di Tenom dan Melalap,” katanya.

Jamawi berkata, mesyuarat itu turut menerima taklimat daripada Jabatan Air Negeri Sabah mengenai cadangan pembinaan Loji Air Melalap yang kini memasuki fasa akhir persediaan sebelum proses tender.

Menurutnya, semua keperluan projek termasuk pengambilan tanah, aspek kejuruteraan, reka bentuk serta peruntukan telah diselesaikan.

“Projek bernilai kira-kira RM42 juta ini telah diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan akan meningkatkan kapasiti bekalan air sebanyak kira-kira tiga juta liter sehari.

“Ia bukan sahaja akan membantu Loji Air Senagang membekalkan air ke Melalap dan Tenom, malah menjadi persediaan bagi memenuhi keperluan bekalan air di kawasan pekan baharu Melalap supaya masalah kekurangan bekalan tidak berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Air Negeri Sabah dijangka mengeluarkan iklan tender pembinaan loji itu pada penghujung tahun ini.

“Kita berharap pembinaannya dapat disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun dan menjelang 2030 rakyat Melalap akan menikmati sebuah loji air baharu yang mampu memenuhi keperluan bekalan air di kawasan ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jamawi berkata, Kerajaan turut memutuskan untuk menyusun semula aliran trafik di kawasan Orchid Plaza melalui realignment laluan serta penyusunan semula petak parkir bagi mengurangkan kesesakan yang sering berlaku pada waktu puncak.

Beliau berkata, pemasangan lampu jalan di laluan jambatan baharu dari Bulatan Orchid Plaza hingga Bulatan Amboy juga akan dilaksanakan oleh kontraktor pada penghujung Ogos ini.

Katanya, laluan berkenaan masih berada di bawah tanggungjawab kontraktor sehingga September sebelum diserahkan kepada JKR dan seterusnya kepada Majlis Daerah Tenom untuk penyelenggaraan.

Selain itu, Jamawi berkata, kerja pembinaan tapak tamu baharu Melalap kini telah mencapai kira-kira 30 peratus siap.

Beliau berkata, kawasan itu akan dibangunkan sebagai lokasi berkonsepkan warisan dengan pembinaan semula stesen kereta api Melalap serta penempatan kepala lokomotif dan gerabak lama yang akan dijadikan restoran bagi menarik kedatangan pelancong.

“Gerai-gerai juga akan disediakan kepada peniaga tempatan supaya pembangunan ini dapat merancakkan ekonomi Melalap dan memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Terdahulu, Jamawi turut merasmikan Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Tahun Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) di Tenom yang disertai 23 pasukan dan berlangsung sehingga 7 Ogos.

Beliau berkata, kejohanan itu menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili Sabah pada masa hadapan, selaras hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan penyertaan pemain tempatan dalam skuad Sabah FC.

Hadir sama mengiringi Jamawi ialah Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Ketua Daerah, OKK Tusip Tulas; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tenom; Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Makmur Ibak mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah; Timbalan Sektor Pembangunan Murid PPD Tenom; Timbalan Sektor Perancangan PPD Tenom, Dr. Nazmi Rumpau Abdullah; Timbalan Sektor Pengurusan Sekolah PPD Tenom, Jaidi Janteng. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles