AIR BERSIH DAN SELAMAT UNTUK PERTANIAN MAMPU LONJAKKAN PENDAPATAN PETANI SABAH

Oleh  Gundohing Simon Molubi, Pengerusi kempen kesedaran awam Anti Pencemaran Sungai Sabah 

KOTA KINABALU: Sabah memiliki potensi besar untuk menjadi antara pengeluar makanan berkualiti utama negara. 

Tanah subur, sumber semula jadi yang kaya dan kepelbagaian hasil pertanian tempatan sepatutnya menjadi kekuatan utama wilayah ini. 

Namun begitu, masih wujud satu isu asas yang belum diberi perhatian serius — keselamatan dan kebersihan sumber air pertanian.

Air bukan sekadar keperluan harian rakyat, tetapi sumber utama kehidupan sektor pertanian dan keselamatan makanan. 

Tanpa sumber air yang bersih dan selamat, petani berdepan risiko kerugian hasil, pencemaran tanah, peningkatan penyakit tanaman serta hilang keyakinan pengguna terhadap produk tempatan.

Malangnya, isu keselamatan air pertanian sering tenggelam di sebalik fokus terhadap peningkatan kuantiti pengeluaran hasil semata-mata.

Kerajaan dan agensi berkaitan perlu melihat isu ini sebagai agenda kritikal wilayah, bukan sekadar isu teknikal biasa. Sungai dan sumber air yang digunakan untuk pengairan tanaman makanan perlu dipantau, dilindungi dan dipelihara secara lebih serius.

Kegiatan pencemaran sungai akibat pelepasan sisa ternakan, kumbahan dan bahan pencemar lain tidak boleh terus dipandang ringan. Jika tiada tindakan tegas diambil, kesannya bukan sahaja kepada petani tetapi turut melibatkan kesihatan pengguna dan masa depan industri pertanian Sabah.

Petani Sabah berhak mendapat sumber air yang bersih, selamat dan diyakini.

Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan langkah lebih proaktif seperti:

– Pemantauan berkala kualiti air sungai pertanian.

– Pensijilan sumber air bersih dan selamat untuk kawasan pertanian.

– Penguatkuasaan lebih tegas terhadap pencemar sungai.

– Penyediaan sistem rawatan air pertanian komuniti.

– Bantuan infrastruktur air bersih untuk petani luar bandar.

– Ketelusan laporan ujian air kepada rakyat.

Sabah tidak boleh bercakap tentang keterjaminan makanan jika isu asas keselamatan sumber air masih gagal ditangani secara menyeluruh.

Jika kerajaan benar-benar mahu membantu meningkatkan pendapatan petani, maka perlindungan sumber air pertanian wajib menjadi keutamaan.

Air bersih bukan sekadar isu alam sekitar. Ia adalah isu ekonomi, kesihatan rakyat dan masa depan pertanian Sabah.

“Air Bersih Hak Rakyat Sabah.”

Related Articles

253FansLike

Latest Articles