Jamawi tinjau projek tebing runtuh, pengairan sawah di Melalap

TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar meninjau beberapa projek berkaitan pengairan sawah padi dan hakisan tebing sungai di kawasan Melalap, di sini, hari ini.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap memulakan lawatan kerja pada jam 8.30 pagi dengan meninjau tebing jalan runtuh berhampiran Pusat Kebudayaan Murut.

Beliau berkata, masalah hakisan tebing sungai di kawasan itu telah lama diadukan penduduk dan kini menerima perhatian apabila Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meluluskan peruntukan bagi projek penstabilan tebing Sungai Pegalan.

Menurutnya, keadaan hakisan semakin serius apabila tebing sungai semakin menghampiri kawasan pusat kebudayaan dan berisiko menjejaskan tanah serta kemudahan pelancongan di situ.

“Pada tahun ini, pihak JPS telah meluluskan peruntukan untuk projek penstabilan tebing sungai di kawasan Pusat Kebudayaan Murut.

“Kita akan memasang struktur penahan tebing menggunakan batu besar bagi mengelakkan hakisan terus berlaku dan memastikan kawasan ini selamat,” katanya.

Beliau berkata, projek itu dijangka dilaksanakan tahun ini dan diharap memberi manfaat kepada penduduk setempat serta pemilik tanah berhampiran.

Beliau kemudian meneruskan lawatan pada jam 10 pagi dengan meninjau sistem pengairan di Kampung Makakumpai dan Entabuan yang melibatkan kawasan sawah padi seluas kira-kira 160 hektar.

Katanya, seramai 62 petani di kawasan terbabit tidak dapat menanam padi sejak hampir 10 tahun lalu akibat masalah pam dan bekalan air.

“Saya turun padang bersama pegawai JPS untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi petani.

“Pihak JPS memberi jaminan bahawa kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf sistem pengairan akan diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga bulan,” katanya.

Jamawi berkata, usaha itu penting bagi membolehkan petani kembali mengusahakan sawah mereka sekali gus meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan.

Pada jam 11 pagi, beliau turut meninjau sistem bekalan air untuk sawah padi di Lagud Sebrang bersama pegawai JPS dan Jabatan Pertanian Tenom.

Katanya, lawatan itu bertujuan melihat keperluan kerja-kerja naik taraf sistem pengairan bagi memastikan bekalan air kepada sawah padi di kawasan terbabit terus terjamin.

“Kita mahu memastikan para petani di kawasan Lagud Sebrang, Paguokon, Manining dan Pansailon dapat terus mengusahakan tanaman padi dengan lebih baik.

“Kerajaan akan terus membantu melalui pelbagai program bersama Jabatan Pertanian dan JPS demi meningkatkan pengeluaran hasil padi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, projek menaik taraf sistem pengairan itu juga bertujuan meningkatkan penghasilan padi serta memperkukuh sosioekonomi penduduk setempat selaras dengan objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Ketua Daerah, OKK Tusib Tulas; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Denesly Justin serta Pegawai Kementerian dan Timbalan Pengarah 

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Irene Choo. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles