.
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tidak pernah mempertikaikan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sambil mempertahankan hak itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud sependapat bahawa hak Sabah ke atas hasil 40 peratus itu bukan satu bentuk ihsan atau geran.
“Sebab itu, perkara ini (kenyataan politik wakil-wakil rakyat Sabah) penting dijelaskan secara tepat berlandaskan fakta serta kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapha menegaskan bahawa usaha melaksanakan perkara-perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan 40 peratus hasil Sabah sedang berjalan secara berterusan melalui pelbagai platform rasmi.
Di peringkat persekutuan, beliau berkata Kerajaan MADANI telah memperkukuh mekanisme pelaksanaan melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.
Setakat ini, Mustapha berkata sebanyak 13 daripada 29 perkara telah berjaya diselesaikan, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam melaksanakan MA63 secara berperingkat tetapi konsisten.
“Bagi isu 40 peratus hasil Sabah secara khusus, rundingan kini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan melibatkan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
Mustapha berkata platform rundingan itu memberi tumpuan kepada:
– Pemuktamadan formula pengiraan berdasarkan hasil bersih Persekutuan dari Sabah selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan;
– Penyelarasan dan pengesahan data hasil melibatkan agensi utama seperti LHDN dan Jabatan Kastam bagi tempoh semasa termasuk tahun-tahun terdahulu;
– Penelitian isu “lost years”, iaitu tempoh bayaran yang belum diselesaikan sejak sekian lama dan memerlukan pendekatan yang adil serta dipersetujui bersama;
– Perbincangan mekanisme pelaksanaan secara berfasa, bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan secara teratur dan berterusan.
Selain itu, Mustapha berkata beberapa siri pertemuan dan mesyuarat penyelarasan telah diadakan bersama Kerajaan Negeri Sabah termasuk dengan Menteri Kewangan Sabah dan pegawai kanan Perbendaharaan Malaysia bagi memperincikan hala tuju (way forward) serta mempercepat proses pemuktamadan.
Menurutnya pertukaran data antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025 juga telah dilaksanakan.
Katanya kedua-dua pihak kini mempunyai asas kefahaman yang lebih jelas terhadap angka dan kaedah pengiraan yang terlibat.
Pada masa yang sama, Mustapha berkata kerajaan turut meningkatkan ketelusan dan pemantauan pelaksanaan MA63 melalui pembangunan Dashboard Status Pelaksanaan MA63.
Katanya Fasa 1 telah pun dilaksanakan bagi membolehkan pemantauan asas kemajuan setiap perkara, manakala Fasa 2 sedang dalam pembangunan untuk memperluas fungsi termasuk pemantauan yang lebih terperinci, integrasi data antara agensi serta akses maklumat yang lebih menyeluruh secara masa nyata.
Mustapha berkata kesemua usaha itu menunjukkan bahawa rundingan ini bukan berada dalam keadaan statik, tetapi sedang bergerak ke hadapan secara berstruktur dan berpaksikan fakta serta peruntukan Perlembagaan.
Isu ini memerlukan pendekatan yang bertanggungjawab dan berpaksikan penyelesaian jangka panjang. Keutamaan kita adalah memastikan Sabah menerima haknya secara berkesan, bukan sekadar menjadi polemik politik semata-mata, katanya.
Mustapha berkata pembayaran interim hanyalah penyelesaian sementara sehingga penyelesaian muktamad dibuat dengan persetujuan Kerajaan Negeri dan Pusat.
“Sebarang usaha menaikkan nilai pembayaran interim adalah wajar bagi memacu pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
