MENUMBOK: Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) dan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai simbolik kerjasama strategik antara dua persatuan itu.
Kedua-dua presiden persatuan itu, Datuk Dr Yusof Yacob (PAADIAN) dan Datuk Ruslan Muharam (PBBS) menandatangani MoU itu pada Mesyuarat Agung Dwitwhunan PAADIAN 2026 di Dewan Pesta Nelayan Mempakul, semalam.
Berucap pada majlis itu, Dr Yusof menyifatkan MoU itu menjadi landasan penting kepada kerjasama rapat antara PAADIAN dan PBBS.
“Ini khususnya program-program berkaitan kebudayaan, keusahawanan dan aktiviti yang memberi manfaat kepada kedua-dua persatuan ,” katanya.
Beliau berkata, PAADIAN melihat PBBS merupakan antara persatuan kaum di Sabah yang berjaya termasuk memiliki bangunan Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Bisaya di Beaufort.
Sementara itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri 1 Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, PBBS memberi komitmen penuh MoU itu untuk menjalin kerjasama di sektor yang sesuai.
Katanya, peringkat awal, PBBS menawarkan kepada PAADIAN penggunaan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Bisaya untuk penganjuran program kebudayaan dan kesenian.
Katanya, seperti PAADIAN, PBBS juga terus memartabatkan kaum itu bukan sahaja dari segi kebudayaan dan kesenian tetapi juga dalam bidang lain seperti ekonomi, sektor awam dan swasta.
Sementara itu, Dr Yusof mengekalkan jawatan Presiden Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) Sesi 2026-2029 selepas menang tanpa tanding pada Mesyuarat Agung itu.
Turut mengekalkan jawatan adalah Datuk Ramlee Kariah sebagai Timbalan Presiden dan Sani Gapar, Naib Presiden.
Menerusi pemilihan, dua naib presiden baru, Hamidi Salleh dan Nawi Bair.
Ahli Majlis Tertinggi yang dipilih terdiri Jakaria Nayan, Ibrahim Muksin, Alizah Arif, Azrin Sohaini, Muhammad Zulfadhu Amir, Romay Shahirie, Salbiah Nayan, Osman Arshad, Ustaz Mohd Ridzuan Kaplin dan Mohd Nazib Maidan.
