Isu  EPW – Mahkamah Tinggi benarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman berkaitan isu elaun perumahan wilayah

KOTA KINABALU:  Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) mengambil maklum bahawa Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah membenarkan permohonan kebenaran (leave) untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung isu Elaun Perumahan Wilayah (EPW) yang melibatkan guru-guru di Sabah.

Presiden KGKS Murkam Hj Hussien berkata keputusan itu merupakan satu perkembangan penting dalam proses perundangan, kerana ia membolehkan isu-isu pentadbiran dan undang-undang yang dibangkitkan oleh pihak pemohon didengar pada peringkat substantif oleh Mahkamah.

Pada masa sama, beliau berkata pemberian kebenaran (leave) itu bukanlah keputusan muktamad terhadap merit kes. 

“Isu-isu pokok masih akan ditentukan oleh Mahkamah dalam prosiding seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu ini timbul apabila sebahagian guru yang telah menerima EPW dalam tempoh yang panjang, selepas melalui proses kelulusan dan pembayaran rasmi, kemudiannya dimaklumkan bahawa mereka tidak lagi layak menerima elaun tersebut.

Antara perkara yang menjadi pertikaian ialah tafsiran terhadap syarat kelayakan berkaitan jarak 25 kilometer, termasuk persoalan sama ada kaedah pengukuran yang digunakan dalam pelaksanaan pentadbiran adalah selaras dengan pekeliling, panduan dan peraturan perkhidmatan yang berkuat kuasa.

Selain pemberhentian bayaran, isu tuntutan bayaran balik bagi elaun yang telah diterima sebelum ini turut memberi kesan kewangan kepada guru-guru yang terlibat.

Murkam berkara prosiding semakan kehakiman itu antara lain akan membangkitkan persoalan undang-undang pentadbiran berkaitan:

Pertama, sama ada wujud jangkaan sah (legitimate expectation) kepada pegawai yang telah menerima elaun tersebut secara berterusan selepas kelulusan rasmi.

Kedua, sama ada tafsiran dan pelaksanaan baharu yang digunakan adalah selaras dengan punca kuasa yang sah di bawah pekeliling dan peraturan perkhidmatan yang berkuat kuasa.

Ketiga, sama ada proses pemberhentian bayaran dan tuntutan bayaran balik telah dilaksanakan mengikut prinsip keadilan prosedur (procedural fairness), termasuk hak pegawai untuk diberi makluman yang jelas, peluang menjawab, dan pertimbangan yang adil.

Beliau berkata semua isu itu akan diputuskan oleh Mahkamah berdasarkan dokumen, fakta dan hujahan undang-undang yang akan dikemukakan oleh pihak-pihak dalam prosiding seterusnya.

Murkam berkata KGKS menghormati sepenuhnya proses kehakiman dan akan terus menggunakan saluran undang-undang yang sah, berhemah dan tertib.

“KGKS berpandangan bahawa isu ini bukan sahaja melibatkan kepentingan kewangan individu guru, tetapi turut menyentuh prinsip yang lebih luas dalam pentadbiran awam, termasuk ketelusan, kepastian dasar, keadilan prosedur dan pelaksanaan peraturan secara konsisten,” katanya.

Katanya KGKS turut mengambil maklum kesan kewangan yang dialami oleh guru-guru terlibat, khususnya apabila elaun yang telah diterima dalam tempoh yang panjang kemudiannya dihentikan dan dituntut semula.

Sehubungan itu, Murkam menyeru agar semua pihak menghormati proses mahkamah yang sedang berjalan.

“Pada masa yang sama, KGKS berharap pihak-pihak berkaitan dapat meneliti semula isu ini secara menyeluruh, termasuk kesan pentadbiran dan kewangan kepada pegawai yang terlibat,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles