Majlis Perwakilan Pelajar Hargai Keprihatinan dan Usaha UMS Hadapi Gangguan Bekalan Air di Kampus

KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan dan usaha pihak pengurusan universiti dalam menangani isu gangguan bekalan air yang sedang melanda kampus.

Ketua Jabatan Kebajikan Mahasiswa MPP UMS, Mohamad Furkhan Abdullah berkata, tindakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor yang turun padang pada Selasa jelas menunjukkan komitmen dan keprihatinan tinggi terhadap kebajikan pelajar.

“Lawatan turun padang ini memberi keyakinan kepada kami bahawa pihak universiti benar-benar serius dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap isu yang dihadapi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas pengumuman pemberian bekalan air mineral kepada semua pelajar di kolej kediaman. 

Menurutnya, inisiatif tersebut amat membantu pelajar dalam memenuhi keperluan asas harian, khususnya dalam situasi bekalan air yang terhad.

“Pemberian air mineral ini bukan sahaja meringankan beban pelajar, malah memberi jaminan bahawa kebajikan dan kesihatan mereka terus menjadi keutamaan pihak universiti,” tambahnya.

Dalam masa sama, MPP turut menghargai keputusan universiti untuk melaksanakan kuliah secara atas talian sepanjang tempoh gangguan. 

“Langkah ini dilihat sebagai satu strategi yang baik dalam mengurangkan penggunaan air di kampus tetapi pada masa yang sama tidak mengabaikan sesi akademik pelajar. 

“Ia secara langsung mengurangkan penggunaan air dan membantu mengurangkan impak kepada pelajar yang masih berada di dalam kampus,” jelas Furkhan.

Selain itu, pengumuman mengenai peranan Dapur Siswa sepanjang tempoh gangguan bekalan air turut disambut baik oleh pelajar. 

Inisiatif tersebut katanya, memastikan pelajar yang terjejas terus mendapat akses kepada makanan yang mencukupi.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengalaman turun padang bersama Naib Canselor ke lokasi tangki R13 milik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) membuka gambaran sebenar situasi semasa.

“Kami melihat sendiri paras air di tangki tersebut berada pada tahap yang sangat rendah, sekali gus menjelaskan punca gangguan yang berlaku di kawasan kampus dan sekitarnya,” ujar Furkhan.

Dalam perkembangan berkaitan, MPP turut menghargai makluman daripada Ahli Parlimen Sepanggar merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud bahawa bekalan air dijangka kembali pulih dalam tempoh terdekat.

Gangguan bekalan air yang melibatkan kawasan Alam Mesra dan UMS dilaporkan berpunca daripada beberapa kerosakan di lokasi tertentu. Namun, kerja-kerja pembaikan telah dilaksanakan oleh pihak JANS.

Menurut Mustapha, ketika ini pihak JANS sedang dalam proses menstabilkan semula bekalan air, manakala bantuan lori tangki air turut digerakkan ke kawasan terjejas sebagai langkah jangka pendek bagi memastikan keperluan asas pengguna terus dipenuhi.

Sehubungan itu, MPP menyeru seluruh warga kampus untuk terus mendoakan agar segala usaha dan kerja-kerja pemulihan bekalan air dipermudahkan dan gangguan bekalan dapat ditangani segera.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles