Enam ADUN Warisan Sandakan desak kerajaan negeri bertindak tegas isu hak 40% Sabah dibawah MA63

SANDAKAN: Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan dari Sandakan hari ini menyuarakan kebimbangan serius serta kekecewaan mendalam terhadap perkembangan terkini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah terhadap 40% hasil bersih Persekutuan.

YB Calvin Chong (N55 Elopura), YB Lisa Alban (N52 Sungai Sibuga), YB Alias Hj. Sani (N53 Sekong), YB Arunanarsin Taib (N50 Gum-Gum), YB Alex Wong (N54 Karamunting) dan YB Alex Thien (N56 Tanjong Papat), menegaskan bahawa keputusan penangguhan ini sekali lagi memperlihatkan bagaimana hak Sabah terus ditangguhkan walaupun telah diperakui melalui proses kehakiman. 

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia melibatkan hak yang telah sekian lama termaktub tetapi gagal dilaksanakan sepenuhnya.

Keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini telah dengan jelas mengesahkan bahawa kerajaan Persekutuan telah gagal melaksanakan kewajipan semakan pemberian khas kepada Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. 

Justeru, walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan atas alasan prosedural, pengiktirafan terhadap hak Sabah tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh terus dilengah-lengahkan.

Barisan ADUN Warisan menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak boleh lagi menggunakan apa-apa alasan, termasuk proses rayuan, sebagai justifikasi untuk menangguhkan pelaksanaan hak ini. 

Tuntutan 40% hasil ini bukan isu baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak puluhan tahun tanpa penyelesaian yang adil. Penangguhan demi penangguhan hanya akan memperkukuhkan persepsi bahawa terdapat kegagalan politik dalam menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam masa yang sama, kami berpandangan bahawa kelemahan dalam mempertahankan hak ini turut berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri Sabah menunjukkan ketegasan dan keberanian politik yang sewajarnya. 

Sikap yang dilihat terlalu berhati-hati, tidak konsisten dan cenderung berdiam diri dalam isu sebesar ini telah menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen sebenar kerajaan negeri dalam memperjuangkan kepentingan Sabah.

Sehubungan itu, kami mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang dilihat gagal menggunakan kedudukan dan pengaruh politik untuk memberikan tekanan yang mencukupi kepada kerajaan Persekutuan. 

Dalam keadaan di mana hak negeri terus tertangguh, pendekatan yang terlalu bergantung kepada rundingan tanpa hasil yang jelas serta keengganan untuk mengambil pendirian yang lebih tegas adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh rakyat Sabah.

Kerajaan negeri seharusnya tampil dengan pendirian yang jelas, tegas dan konsisten, serta menggunakan semua saluran yang ada, termasuk saluran politik dan perundangan, untuk memastikan kerajaan Persekutuan menghormati dan melaksanakan sepenuhnya kewajipan mereka terhadap Sabah. 

Selain itu, kerajaan negeri juga perlu memastikan setiap perkembangan rundingan dan tindakan yang diambil dimaklumkan secara telus kepada rakyat, agar keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan dapat dipulihkan.

Isu tuntutan 40% hasil ini bukan sekadar persoalan kewangan semata-mata, tetapi merupakan isu yang menyentuh soal keadilan, maruah, serta kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.

Kegagalan untuk melaksanakan hak ini dengan segera mencerminkan kelemahan dalam menghormati prinsip asas yang telah dipersetujui sejak awal penubuhan negara.

Kami ingin menegaskan bahawa kesabaran rakyat Sabah ada batasnya. Rakyat tidak lagi boleh menerima alasan penangguhan yang berulang tanpa sebarang penyelesaian konkrit. 

Kerajaan Persekutuan mesti menunjukkan komitmen politik yang jelas untuk menyelesaikan isu ini dalam tempoh yang munasabah, manakala kerajaan negeri pula mesti memainkan peranan yang lebih tegas dan proaktif dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah.

Sebagai wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat Sandakan, kami akan terus konsisten dalam memperjuangkan isu ini dan memastikan suara rakyat Sabah tidak terus dipinggirkan walaupun berada di pihak pembangkang. Kami tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan hak, kepentingan dan masa depan negeri Sabah.

“Hak Sabah bukan untuk ditangguhkan lagi ia adalah hak yang wajib dilaksanakan tanpa berlengah.”

Related Articles

253FansLike

Latest Articles