PHRS pimpinan Tan Sri Liew Yun Fah tekad perluaskan pengaruh ke seluruh Sabah

KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) pimpinan Tan Sri Liew Yun Fah berhasrat untuk melebarkan sayap ke seluruh Sabah dalam masa terdekat.

Liew berkata buat permulaan parti yang berpangkalan di Tawau itu akan memberi fokus kepada kawasan di mana parti pemerintah, terutama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tewas dalam piliham raya negeri (PRN) tahun lepas.

“Buat permulaan kita mungkin akan tumpu di  kawasan yang GRS tidak berjaya…Sandakan kah dan kawasan Kota Kinabalu kerana selaku anggota GRS, saya mesti sokong GRS.  Kawasan lain nanti kita kena tengok,” katanya.

Liew berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis RumahTerbuka Aidilfitri yang dihoskan pengamal media Zakaria Damit di rumah kediamannya di Kg Bangka-Bangka, Likas semalam.

Ditanya sama ada parti PHRS hanya menumpukan kawasan majoriti pengundi Cina, Liew berkata PHRS merupakan berbilang kaum yang memperjuangkan semua rakyat Sabah.

“Ya, bukan majoriti Cina saja lah. Tidak kira bangsa apa pun. Tetapi di mana kawasan yang bermasalah, kami akan masuk dan cuba gabungkan sama-sama kekuatan,” katanya.

Liew berkata parti itu kini mempunyai hampir 100 cawangan dengan jumlah keanggotaan melebih 40,000 orang.

Beliau turut menzahirkan keyakinan pengundi Cina di Sabah akan kembali menyokong parti-parti pemerintah kerajaan negeri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mengenai pendirian PHRS berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah, presiden parti itu berkata semua pemimpin di negeri ini, termasuk parti pembangkang harus bertanggungjawab untuk selesaikan isu tersebut.

“Apa yang penting rakyat Sabah perlu bersatu dalam hal ini. Bagi sokongan padu kepada pemimpin yang berbincang.

“Sekarang perpecahan kita boleh nampak di mana ada rakyat sokong pemimpin yang berbincang, ada yang sokong yang tidak berbincang. 

“Maka ini menjadikan satu peluang kepada satu “gap” yang mungkin bukan senang kita mahu selesaikan masalah ini.

“Tetapi kalau rakyat sabah semua fikirkan hala tuju yang satu yang sama, bahawa itu patut kita tuntut dan itu memang hak kita, saya yakin percaya perkara ini amat senang diselesaikan,”

Oleh itu, Liew menyeru rakyat Sabah

supaya sama-sama bersatu dalam satu perjuangan terutama dalam menuntut hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles