Parti PERPADUAN tegas bantah tuntutan Filipina terhadap Sabah

KOTA KINABALU: Presiden PERPADUAN, Gundohing Jack Giau membidas kenyataan Robin Padilla dari Filipina berhubung tuntutan terhadap Sabah yang disifatkan sebagai tidak berasas, lapuk dan bertentangan dengan fakta sejarah serta undang-undang antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa isu tuntutan terhadap Sabah telah pun muktamad diselesaikan pada tahun 1963 melalui proses yang sah dan diiktiraf dunia. 

“Sebarang cubaan untuk menghidupkan semula tuntutan tersebut hanyalah retorik politik sempit untuk kepentingan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Jack, proses pembentukan Malaysia telah melalui rundingan rasmi termasuk laporan Inter-Governmental Committee (IGC) serta Suruhanjaya Cobbold, yang jelas menunjukkan majoriti rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia. 

Keputusan itu kemudiannya disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selaras dengan Resolusi PBB 1541 yang mengiktiraf hak penentuan nasib sendiri, katanya.

Pada 31 Ogos 1963, Sabah mencapai pemerintahan sendiri sebelum bersama membentuk Malaysia pada 16 September 1963. 

“Sejak itu, rakyat Sabah terus menggunakan hak demokrasi mereka dalam memilih kerajaan dan menentukan hala tuju negeri dalam sebuah negara berdaulat.

“Dakwaan berasaskan Sultan Sulu adalah tidak lagi relevan dalam konteks negara moden kerana tidak mempunyai asas kedaulatan yang diiktiraf. 

“Malah, tidak wujud sebarang bukti pentadbiran berdaulat Kesultanan Sulu di Sabah, termasuk ketiadaan struktur pemerintahan seperti istana atau institusi rasmi di wilayah ini,” kata beliau.

Sebaliknya, Jack berkata Sabah telah berkembang sebagai negeri yang aman, stabil dan membangun dalam Persekutuan Malaysia. 

Beliau berkata pembangunan infrastruktur, ekonomi dan kesejahteraan rakyat telah dilaksanakan secara berterusan oleh kerajaan Malaysia sejak lebih enam dekad lalu.

PERPADUAN menegaskan bahawa sekiranya Sabah berada di luar kerangka Malaysia, termasuk dalam lingkungan Filipina, belum tentu negeri ini mampu mencapai tahap keamanan, kestabilan dan kemajuan seperti yang dinikmati pada hari ini.

Selain itu, katanya insiden Pencerobohan Lahad Datu 2013 menjadi bukti bahawa tuntutan tidak berasas ini berpotensi mengancam keselamatan dan kedaulatan wilayah.

Sehubungan itu, Jack berkata PERPADUAN menyeru kerajaan Filipina agar menghentikan provokasi dan menghormati semangat kerjasama serantau dalam BIMP-EAGA demi kestabilan dan kemakmuran bersama.

“Sabah adalah Malaysia — sah, muktamad dan tidak boleh dipertikaikan. Negeri ini lebih aman, stabil dan maju dalam Persekutuan Malaysia,” tambah beliau.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles