SANDAKAN: Enam (6) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan dari Sandakan hari ini menyerahkan satu memorandum rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sandakan sebagai satu desakan tegas agar pihak berkuasa memberikan penjelasan menyeluruh, telus dan segera berhubung kelewatan siasatan terhadap individu-individu lain yang dikaitkan dalam Skandal Perlombongan Sabah.
ADUN yang terlibat ialah Calvin Chong (N55 Elopura), Lisa Alban (N52 Sungai Sibuga), Alias Hj. Sani (N53 Sekong), Wakil YB Arunanarsin Taib (N50 GumGum), Alex Wong (N54 Karamunting) dan Alex Thien (N56 Tanjong Papat).
Penyerahan memorandum itu mencerminkan kebimbangan serius serta tanggungjawab moral wakil rakyat terhadap rakyat Sabah yang semakin hilang keyakinan terhadap keupayaan institusi penguatkuasaan dalam menangani skandal rasuah berskala besar ini.
Sehingga kini, perkembangan siasatan oleh SPRM dilihat tidak seiring dengan tahap keseriusan skandal yang melibatkan pelbagai tokoh politik berprofil tinggi. Walaupun sebelum ini dilaporkan bahawa lebih daripada 15 individu telah dikaitkan, termasuk pemimpin kanan negeri, hanya sebahagian kecil sahaja yang telah didakwa, manakala status siasatan terhadap yang lain masih tidak jelas.
Keadaan ini menimbulkan persoalan serius dalam kalangan rakyat sama ada wujud kelemahan dalam pelaksanaan siasatan atau kemungkinan berlakunya campur tangan politik yang menghalang tindakan lanjut terhadap pihak tertentu.
Lebih membimbangkan, pelbagai bahan bukti termasuk rakaman video, dokumen kewangan, jejak aliran wang serta laporan lengkap yang telah diserahkan kepada pihak berkuasa masih belum menghasilkan tindakan yang menyeluruh.
Sekiranya bukti yang sama telah mencukupi untuk mendakwa beberapa individu, maka kegagalan mengambil tindakan terhadap individu lain yang turut dikaitkan hanya akan menguatkan persepsi bahawa keadilan tidak dilaksanakan secara adil dan saksama.
Sehubungan itu, ADUN WARISAN Sandakan dengan tegas menuntut agar SPRM memberikan laporan terkini yang jelas mengenai status keseluruhan siasatan, menjelaskan sebab kelewatan dalam tindakan terhadap individu lain yang telah dikenal pasti, serta mengumumkan hasil analisis terhadap semua bukti yang telah dikemukakan.
Pada masa yang sama, jaminan perlu diberikan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan tanpa sebarang campur tangan politik, serta tindakan undang-undang diambil secara menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira jawatan atau kedudukan.
Kelewatan dalam membawa individu yang didakwa ke muka pengadilan juga telah menimbulkan kebimbangan serius apabila terdapat pihak yang masih dilantik atau terus memegang jawatan awam.
Perkara ini adalah tidak boleh diterima kerana ia mencerminkan kegagalan untuk meletakkan prinsip integriti, akauntabiliti dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pentadbiran.
Rakyat Sabah berhak kepada sebuah kerajaan yang bersih, telus dan bebas daripada rasuah, dan kegagalan bertindak terhadap mereka yang terlibat hanya akan terus menjejaskan reputasi negeri serta menghalang potensi pembangunan yang telah lama terkesan akibat salah guna kuasa.
ADUN WARISAN Sandakan menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar isu siasatan semata-mata, tetapi merupakan ujian terhadap kepercayaan rakyat kepada institusi negara.
Justeru, tindakan segera, tegas dan menyeluruh amat diperlukan bagi memulihkan keyakinan awam serta memastikan kedaulatan undang-undang terus dipelihara.
Dalam perkembangan sama, dimaklumkan bahawa penyerahan memorandum yang sama turut dilaksanakan secara serentak oleh ADUN WARISAN di Kota Kinabalu dan Tawau di lokasi masing-masing, sebagai tanda solidariti dan komitmen bersama dalam menuntut ketelusan, keadilan dan akauntabiliti dalam pengendalian skandal ini.
