KOTA BELUD. Pertubuhan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) menzahirkan sokongan penuh terhadap iltizam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memuktamadkan tuntutan Sabah berkaitan hak 40% hasil negeri selaras dengan semangat dan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presiden PERPADUAN Gundohing Jack Giau berkata kenyataan yang dizahirkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini itu mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu bersejarah ini secara tuntas, berasaskan rundingan yang telus, berfakta dan berpaksikan kepentingan bersama Persekutuan dan Negeri Sabah.
PERPADUAN berpandangan bahawa pendekatan rundingan berasaskan “maklumat mendalam” yang dinyatakan oleh Perdana Menteri adalah tepat, selaras dengan keperluan untuk memastikan sebarang keputusan yang dicapai bersifat mampan, sah dari sudut perundangan, serta mampu dilaksanakan tanpa pertikaian pada masa hadapan, katanya.
Dalam konteks ini, Jack berkata PERPADUAN menekankan bahawa kejayaan rundingan itu amat bergantung kepada tahap kesiapsiagaan Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru itu, Jack berkata parti itu menyeru agar satu penyelarasan menyeluruh dilaksanakan segera melibatkan aspek teknikal, fiskal dan perundangan, termasuk penyediaan data hasil, rekod tuntutan, serta hujah perlembagaan yang komprehensif dan tersusun.
“PERPADUAN juga berpandangan bahawa segala kelemahan lampau dalam memperjuangkan hak negeri perlu dijadikan iktibar.
“Tuntutan 40% ini bukan sekadar isu kewangan, tetapi merupakan asas kepada keadilan fiskal, pengukuhan autonomi negeri, dan pemulihan hak yang telah termaktub sejak pembentukan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata momentum yang ada ketika ini tidak harus disia-siakan.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu diperkukuhkan melalui pendekatan yang profesional, tidak beremosi, serta berorientasikan penyelesaian.
“Hasil daripada pemuktamadan tuntutan ini kelak diyakini akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan Sabah, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur asas, meningkatkan kesejahteraan rakyat, serta merapatkan jurang pembangunan wilayah,” katanya.
Jack berkata PERPADUAN kekal komited untuk menyokong segala usaha konstruktif ke arah memastikan hak Sabah dikembalikan secara adil dan bermaruah, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
