KOTA BELUD: Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) menolak cadangan Perdana Menteri Malaysia untuk menubuhkan pejabat Konsulat India di Sabah.
Presiden PERPADUAN Gundohing Jack Giau berkata cadangan itu dianggap tidak tepat dan tidak mengambil kira realiti semasa negeri Sabah yang sedang berdepan dengan pelbagai isu lebih mendesak, khususnya berkaitan keselamatan sempadan, lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ketidakseimbangan demografi.
“Rakyat Sabah berhak mempersoalkan rasional cadangan ini, lebih-lebih lagi apabila isu pendaftaran pemilih yang diragui dan kewujudan warga asing dalam daftar pengundi masih belum diselesaikan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan .
Jack berkata kerajaan Persekutuan sewajarnya memberi tumpuan kepada pelbagai isu rakyat di negeri ini.
Katanya ini termasuk membersihkan
daftar pemilih, penguatkuasaan imigresen dan penyelesaian isu kewarganegaraan serta isu kawalan keselamatan sempadan Sabah.
Jack berkata PERPADUAN menegaskan bahawa hak autonomi Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) wajar dihormati sepenuhnya.
“Kuasa imigresen adalah antara hak penting Sabah yang tidak boleh dipinggirkan. Sebarang keputusan dasar luar yang memberi kesan langsung kepada negeri ini perlu mengambil kira kepentingan dan keselamatan Sabah terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata sebarang cadangan untuk mewujudkan konsulat asing di Sabah perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan rasmi kerajaan Sabah dan dibahaskan secara terbuka di Dewan Undangan Negeri Sabah.
