PH Sabah sebulat suara mahu pembayaran penuh hak 40% disegerakan, sebolehnya sebelum PRU

KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini sebulat suara menuntut agar bayaran penuh hak 40 peratus hasil Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disegerakan, sebolehnya sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sambil menyambut baik kenaikan pemberian interim RM1.5 bilion kepada Sabah yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, Pengerusi PH Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata PH Sabah senada dengan aspirasi  majoriti rakyat negeri yang mahu  pembayaran penuh hak 40% itu dilaksanakan seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Saya sendiri sebagai menteri yang bertanggungjawab diminta oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah supaya memastikan pelaksanaannya dapat disegerakan. 

“Dalam hal ini, saya akan terus mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat, terutama Kementerian Kewangan, untuk cari jalan bagaimana mempercepatkan pelaksanaan pembayaran 40% ini,” katanya.

Mustapha yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah berkata demikian pada sidang media PH Sabah di sini hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Pengerusi: Datuk Phoong Jin Zhe (DAP) dan Datuk Lahirul Latigu (AMANAH).

Mengenai pemberian khas RM1.5 bilion, Mustapha menzahirkan harapan ia dapat disalurkan kepada Sabah secepat mungkin.

“Kita harap peruntukan ini akan digunakan secara khusus untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan infrastruktur asas yang kita sedang alami di negeri ini, terutama masalah air, bekalan elektrik, dan juga jalan raya yang masih lagi tidak memenuhi aspirasi rakyat Sabah.” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles