Kanser Kolorektal Sering Dikesan Lewat

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati, Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal, Hospital UMS, Universiti Malaysia Sabah

Profesor Datuk Dr. Ismail Sagap, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Am dan Kolorektal, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia

KOTA KINABALU: Kanser kolorektal merupakan antara kanser paling kerap berlaku di Malaysia, melibatkan lelaki dan wanita tanpa mengira kaum. Menurut data daripada Laporan Perangkaan Kanser Kebangsaan 2017-2021, kanser teratas adalah kanser kolorektal dan diikuti oleh kanser paru-paru dan kanser prostat.

 Namun, perkara yang lebih membimbangkan ialah sebahagian besar pesakit hanya mendapat tahu mereka menghidapi penyakit ini apabila sudah berada pada peringkat lewat. Persoalannya, mengapa kanser kolorektal di Malaysia sering dikesan lewat, sedangkan penyakit ini sebenarnya boleh dicegah dan dirawat lebih awal?

Prof Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati, Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal, Hospital UMS, Universiti Malaysia Sabah, berkata, salah satu punca utama mengapa perkara ini berlaku adalah disebabkan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap gejala awal. Kanser kolorektal pada peringkat awal selalunya tidak menunjukkan tanda-tanda yang jelas. 

Apabila gejala muncul, ia sering bersifat ringan dan tidak khusus, seperti sembelit yang sudah lama, cirit-birit biasa, abdomen kembung, atau rasa tidak puas selepas membuang air besar. Ramai menganggap gejala ini berpunca daripada masalah biasa seperti gastrik, salah makan, stres atau tekanan kerja. 

Akibatnya, pemeriksaan lanjut ditangguhkan sehingga gejala menjadi lebih teruk. Pesakit boleh datang dengan gejala usus tersumbat seperti abdomen kembung, gagal membuang air besar, dan muntah, bahkan mereka juga boleh mengalami tanda-tanda kanser merebak ke organ yang lain. 

Apabila kanser merebak ke organ hati, mereka boleh mengalami sakit di bahagian atas kanan abdomen dan juga gajala kekuningan, manakala apabila ia sudah merebak ke paru-paru, pesakit boleh mengalami masalah pernafasan. 

Faktor kedua ialah kecenderungan mengaitkan pendarahan dubur dengan buasir semata-mata. Dalam masyarakat kita, buasir dianggap sebagai penyakit biasa dan tidak berbahaya. 

Apabila berlaku pendarahan ketika membuang air besar, ramai pesakit memilih rawatan sendiri atau mendapatkan ubat tanpa pemeriksaan menyeluruh. Hakikatnya, pendarahan dubur ialah salah satu tanda penting kanser kolorektal, terutama sekali jika ia disertai dengan penyusutan berat badan, kekurangan selera makan, penurunan bacaan darah merah, atau perubahan corak pola penyahtinjaan. Menganggap semua pendarahan sebagai buasir menyebabkan peluang pengesanan awal terlepas.

Selain itu, rasa malu dan sensitiviti budaya turut memainkan peranan besar. Pemeriksaan usus, terutamanya kolonoskopi, sering dianggap stigma, memalukan dan menakutkan. Ada yang berasa tidak selesa berbincang tentang masalah berkaitan najis atau dubur, apatah lagi menjalani prosedur pemeriksaan. 

Sikap ini menyebabkan ramai pesakit menangguhkan temu janji dengan doktor walaupun gejala sudah berlarutan sekian lama. Oleh sebab itu, ramai pesakit mengambil sikap mudah untuk tidak mendapatian rawatan lanjut. 

Kurangnya budaya saringan berkala juga menyumbang kepada masalah ini. Di negara barat seperti Amerika Syarikat, saringan kanser usus untuk individu berisiko sederhana bermula seawal usia 45, walaupun tanpa gejala. Saringan ini bertujuan mengesan polip usus, iaitu ketumbuhan kecil yang bersifat jinak tetapi boleh bertukar menjadi kanser jika dibiarkan. 

Di Malaysia, amalan saringan masih rendah, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak bergejala dan merasakan diri mereka sihat. Ramai pesakit hanya berjumpa doktor apabila gejala sudah menjadi teruk. Kesan diagnosis lewat adalah besar. 

Kanser kolorektal peringkat awal mempunyai kadar kelangsungan hidup yang tinggi dan rawatannya lebih mudah, kadangkala hanya memerlukan pembedahan tanpa rawatan tambahan. Sebaliknya, apabila dikesan lewat, pesakit mungkin memerlukan gabungan pembedahan kompleks, radioterapi, kemoterapi, dengan risiko kesan sampingan yang boleh mengganggu kualiti hidup. Risiko komplikasi dan kematian juga meningkat.

Menurut Profesor Datuk Dr Ismail Sagap, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Am dan Kolorektal, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, ada beberapa pelan tindakan yang boleh dilakukan agar penyakit ini dapat dicegah dan dirawat lebih awal. 

Pertama, pendidikan kesihatan awam perlu diperkukuh secara berterusan agar masyarakat memahami bahawa kanser kolorektal ialah penyakit yang boleh dicegah dan dikesan lebih awal. Gejala awal seperti perubahan tabiat buang air besar, pendarahan dubur, sakit perut berpanjangan dan keletihan akibat kekurangan darah sering dipandang remeh kerana dianggap masalah biasa. 

Pendidikan di peringkat komuniti, tempat kerja dan kemudahan kesihatan, disokong oleh peranan media arus perdana dan media sosial, dapat meningkatkan kefahaman orang ramai tentang penyakit ini.

Kedua, stigma dan rasa malu terhadap penyakit usus serta pemeriksaannya perlu dikikis melalui pendekatan komunikasi yang sensitif, berfakta dan berterusan. Ramai masih menganggap perbincangan mengenai najis, dubur dan pemeriksaan kolonoskopi sebagai sesuatu yang memalukan, sedangkan sikap ini menyebabkan gejala penting disembunyikan dan rawatan ditangguhkan. 

Penerangan yang jelas bahawa pemeriksaan usus ialah prosedur perubatan biasa, selamat dan dilakukan secara profesional boleh mengurangkan rasa takut serta salah faham. Apabila masyarakat memahami bahawa pemeriksaan awal bertujuan melindungi kesihatan dan mencegah penyakit serius, mereka akan lebih bersedia mendapatkan rawatan awal, sekali gus menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai satu langkah bertanggungjawab demi kesejahteraan diri dan keluarga.

Ketiga, saringan kanser kolorektal perlu dipromosikan secara lebih meluas dan tersusun, khususnya kepada individu berusia 50 tahun ke atas. Bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser kolorektal, adalah dinasihati untuk membuat saringan awal lebih awal dan kerap. Ramai masih beranggapan saringan hanya perlu dilakukan apabila gejala muncul, sedangkan tujuan utama saringan adalah untuk mengesan polip usus sebelum kanser berkembang. 

Bagi individu berisiko rendah, ujian saringan dalam bentuk ujian najis boleh digunakan sebagai langkah awal yang mudah dan tidak invasif untuk mengenal pasti mereka yang berisiko. Sekiranya keputusan tidak normal, pemeriksaan lanjut seperti kolonoskopi boleh dilakukan bagi memastikan diagnosis tepat dan rawatan awal diberikan, sekali gus meningkatkan peluang sembuh dan mengurangkan keperluan rawatan yang lebih agresif pada peringkat lewat. Saringan kolonoskopi boleh diulang setiap 10 tahun bagi individu yang memperolehi keputusan normal. 

Keempat, walaupun sistem kesihatan sedia ada di Malaysia sudah mempunyai struktur asas yang kukuh, namun penambahbaikan masih diperlukan, khususnya di peringkat perkhidmatan primer, sama ada di klinik kesihatan awam mahupun klinik swasta. Pengesanan awal banyak bergantung kepada penilaian awal oleh pengamal perubatan di peringkat ini, termasuk keupayaan mengenal pasti gejala amaran dan membuat rujukan tepat pada masanya. Dengan pemantapan garis panduan klinikal, peningkatan kesedaran dalam kalangan pengamal perubatan primer, serta komunikasi yang lebih berkesan antara perkhidmatan primer dan hospital rujukan, proses diagnosis dapat dipercepatkan tanpa menjejaskan kualiti penjagaan. Pendekatan ini dapat memastikan pesakit menerima pemeriksaan lanjut lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kanser kolorektal dikesan pada peringkat lewat.

Akhir sekali, kerjasama antara masyarakat, pengamal perubatan dan pembuat dasar amat penting. Kanser kolorektal tidak seharusnya terus menjadi “pembunuh senyap” yang hanya disedari apabila sudah terlambat. Dengan kesedaran, saringan dan tindakan awal, banyak nyawa boleh diselamatkan. Kanser kesihatan bukan sekadar isu perubatan, tetapi isu kesihatan awam yang memerlukan perhatian bersama. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles