MyKad Palsu: Ancaman Senyap Keselamatan Sabah

TAWAU: Penggunaan kad pengenalan palsu atau MyKad tiruan bukan sahaja mengancam keselamatan negara malah memberi implikasi besar terhadap kestabilan keselamatan dan sosioekonomi di Sabah yang berdepan cabaran unik sebagai sebuah negeri yang mempunyai sempadan antarabangsa.

Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd  Zaki Harry Susanto berkata, isu MyKad palsu di Sabah perlu diberi perhatian serius kerana negeri ini sering menjadi sasaran sindiket pemalsuan identiti khususnya membabitkan kemasukan warga asing secara tidak sah.

“Sabah mempunyai garis pantai dan sempadan darat yang panjang serta kedudukan strategik berhampiran negara jiran. Ini menjadikan negeri Sabah terdedah kepada penyusupan individu yang menggunakan MyKad palsu untuk menyamar sebagai warganegara,” katanya ketika mengulas kebimbangan yang disuarakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias.

Menurut Mohd. Zaki, penggunaan identiti palsu bukan sekadar melibatkan kesalahan dokumentasi malah membuka ruang kepada aktiviti jenayah terancang seperti pemerdagangan manusia, pengedaran dadah, jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan bantuan kerajaan.

“Apabila individu tidak sah memiliki MyKad, mereka boleh bekerja, mendapatkan rawatan kesihatan, pendidikan serta bantuan subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat. Ini bukan sahaja merugikan negara malah menimbulkan rasa tidak adil dalam kalangan masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau turut menyokong kenyataan JPN bahawa penjenayah yang menggunakan MyKad palsu sukar dikesan sekaligus menyukarkan siasatan dan pendakwaan.

“Dalam konteks Sabah, isu ini juga boleh mengganggu keharmonian sosial dan keselamatan komuniti terutama di kawasan luar bandar dan penempatan berhampiran pantai,” katanya.

Mengulas langkah pencegahan, Mohd. Zaki mencadangkan supaya penguatkuasaan bersepadu antara JPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain ESSCOM diperkasakan di Sabah secara berterusan, bukan hanya dilaksanakan secara bermusim.

Selain itu, beliau menekankan keperluan memperluaskan kempen kesedaran kepada masyarakat agar tidak terlibat sebagai orang tengah atau bersubahat dalam urusan pemalsuan dokumen.

“Rakyat perlu faham bahawa memiliki, menyimpan atau membantu mendapatkan MyKad palsu adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman penjara dan denda. Pencegahan jenayah bukan hanya tugas agensi tetapi tanggungjawab bersama,” katanya.

Mohd. Zaki turut mencadangkan penggunaan teknologi biometrik dan sistem pangkalan data bersepadu diperkukuhkan di Sabah bagi memastikan ketulenan identiti individu dapat disemak dengan lebih cepat dan tepat.

Terdahulu, Datuk Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata MyKad palsu boleh digunakan oleh pengganas, penjenayah antarabangsa dan sindiket pemerdagangan manusia untuk melindungi identiti mereka selain menyusup ke dalam sistem pentadbiran negara.

JPN menegaskan tindakan undang-undang tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menggunakan atau menyimpan MyKad palsu termasuk hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles