TAWAU: Ketika jutaan rakyat Sabah menanti Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan penuh debaran, suhu politik di negeri di bawah bayu kian memuncak dengan parti-parti utama mula mempersiapkan jentera dan strategi masing-masing.
Pemerhati politik, Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dilihat sebagai antara pemain utama dengan potensi besar untuk kekal sebagai kerajaan.
GRS dijangka bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi menjangkakan laluan sukar untuk memperoleh majoriti dua pertiga.
“Kekuatan GRS terletak pada gabungan parti-parti tempatan seperti Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR yang dianggap lebih dekat dengan denyut nadi rakyat Sabah di samping akan disokong oleh parti-parti lain yang menjadi komponen GRS,” katanya.
Bagaimanapun, parti komponen GRS, khususnya PBS dan STAR terpaksa bertarung dengan parti KDM untuk meraih sokongan pengundi Kadazandusun Murut dan Rungus.
Turut disebut-disebut sebagai parti yang mampu melakukan kejutan dalam PRN ialah Warisan.
Zaki berkata keputusan Parti Warisan (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memilih untuk bertanding secara solo dilihat sebagai usaha untuk menempatkan Warisan menjadi penentu dalam pembentukan kerajaan negeri.
Tumpuan Warisan kini ialah untuk menawan semula kerusi-kerusi kubu kuatnya terutama di kawasan Pantai Timur Sabah.
“Di satu sudut lain, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka membawa cabaran tersendiri. Gabungan ini dijangka memainkan naratif kestabilan dan pembangunan sejajar dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Namun, cabaran terbesar mereka ialah menangkis sentimen anti-Malaya dan memastikan penerimaan akar umbi yang cenderung kepada parti tempatan,” tambah Zaki lagi.
Bagi Perikatan Nasional (PN) pula, Zaki melihat hasrat mereka untuk bertanding di semua kerusi DUN merupakan langkah yang menyebabkan keretakan dalaman apabila Parti Maju Sabah (SAPP) menarik diri daripada gabungan tersebut.
Tindakan PN yang dilihat terlalu berorientasikan Semenanjung sukar untuk diterima di sesetengah kawasan luar bandar.
Menurut Zaki lagi, berdasarkan tren pilihan raya lalu, peratusan keluar mengundi pada PRN Sabah 2020 mencecah sekitar 66.6%, dan beliau meramalkan peratusan kali ini mungkin sedikit lebih rendah iaitu sekitar 60% hingga 63%, bergantung kepada situasi politik semasa dan keberkesanan kempen luar bandar.
Ia didorong oleh faktor keletihan politik serta perpecahan parti dan kesannya terhadap semangat untuk keluar mengundi.
“Tiga isu utama dijangka mendominasi kempen dalam PRN Sabah kali ini iaitu yang pertama, tuntutan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan autonomi Sabah. Ia kekal sebagai topik utama yang mempengaruhi undi, terutama di kalangan generasi muda dan masyarakat luar bandar.
“Kedua, pembangunan infrastruktur serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif. Ia masih menjadi harapan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman yang masih berdepan masalah asas seperti bekalan air dan jalan raya.
“Ketiga, isu berkaitan kestabilan politik yang akan menjadi penentu penting. Pengundi dijangka memilih gabungan yang mampu memberikan pentadbiran yang kukuh dan bebas daripada ketidaktentuan yang berpanjangan serta mampu memperjuangkan hak Sabah secara total tetapi berhemah.”
Dengan landskap politik yang semakin berpecah dan dinamik, PRN Sabah ke-17 dijangka menjadi antara pilihan raya negeri paling sengit dalam sejarah moden Sabah.
Rakyat kini menanti dengan harapan bahawa mandat yang bakal diberikan akan membawa hala tuju baharu yang lebih stabil, inklusif dan berdaya saing untuk negeri ini.