Oleh Yussof J. Imbang
TONGOD; Projek Borneo Cement Sabah Sdn Bhd membabitkan pembinaan kilang klinker dan simen di Kampung Kawayoi di sini akhirnya mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah memaklumkan kelulusan EIA itu diperolehi pada 10 April lalu dengan beberapa syarat perlu dipatuhi.
” Kami menerima surat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya berhubung kelulusan itu. Namun masih terdapat beberapa proses yang perlu dilalui.
” Justeru, kerja pembinaan jalan raya, elektrik, tali air dan bangunan kilang akan dilaksanakan serentak bermula awal September depan, ” katanya ditemui media selepas perayaan pesta kaamatan peringkat daerah Tongod, semalam.
Perayaan Pesta Kaamatan Tongod dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan merasmikan serentak bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod.
Masiung berkata, cadangan jalan raya dan elektrik telahpun mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau yang juga Pengerusi BCS berkata, rangkaian jalan raya berturap akan dibina dari Kampung Matiku, Nabawan ke Kampung Inarad, Tongod hingga ke tapak kilang sejauh 26 kilometer.
Sementara, itu BCS akan mendirikan menara pylon untuk bekalan elektrik 40mw sejauh 36 kilometer daripada PMU Nabawan ke tapak kilang di Kampung Kawayoi.
Menurut Wakil Rakyat Kuamut itu, tenaga elektrik ini turut salurkan kepada perkampungan dan ladang-ladang berdekatan yang tiada bekalan elektrik.
” Kita juga akan membina loji bekalan air sendiri dari sungai berdekatan selain seluran telekomanakasi untuk disalurkan ke kawasan kilang dan kurtes pekerja.
” Semua pembinaan infrastruktur ini akan berjalan serentak bermula awal September tahun ini. Kerja-kerja tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2028, ” tambanya.
Mengulas lanjut Masiung berkata, sebaik sahaja beroperasi, kilang ini mampu mengeluarkan 1.78 juta tan metrik setahun dan memberi jaminan harga simen akan turun daripada harga biasa.
Peringkat awal katanya, kilang simen yang menawarkan 1,000 pekerja tempatan itu akan membekalkan simen di peringkat domistik iaitu Sabah dan Labuan.
