Pelancaran Program 100 Hari Wikipedia Hasilkan Artikel Dalam Bahasa Kadazandusun

Gambar: Depan dari kiri, En. Hehdy Jamun, Cik Michelina Binti Michael, Cik Correl Moris, Cik Jilorisa John, En Farouk Azim (Penyelaras Program Wikimedia Malaysia), En John Bin Gitom (Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun), Tuan Haji Harun Bin Haji Sarail (Timbalan Pengarah IPGM Kampus Kent), Puan Lorendah Joseph, Puan Rosmahwati Binti Ebbie dan En Ellfred Billie Kassim.

TUARAN: Program Wikipedia 100 Hari secara rasminya dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menggalakkan penghasilan dan pengembangan kandungan dalam Bahasa Kadazandusun menerusi platform Wikipedia Bahasa Kadazandusun.

Program itu akan berlangsung selama 100 hari, bermula 5 Mei 2025 hingga 18 Ogos 2025.

Program yang dianjurkan oleh Wikipedia Malaysia dengan kerjasama Kelab Wikimedia Kent dan Jabatan Bahasa Kadazandusun, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent itu bermatlamat memartabatkan Bahasa Kadazandusun sebagai bahasa ilmu dalam ruang digital terbuka.

Ia juga merupakan salah satu usaha untuk memastikan lebih banyak artikel dalam Bahasa Kadazandusun akan dihasilkan melalui penglibatan para siswa guru untuk menulis artikel dalam Bahasa Kadazandusun yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan disamping mendorong pembudayaan perkongsian maklumat atas talian dengan menggunakan Bahasa Kadazandusun.

Sepanjang program itu, peserta akan menyumbang artikel baharu dalam pelbagai kategori termasuk sejarah, budaya, biodiversiti, tokoh masyarakat, dan pengetahuan tempatan.

Bengkel penyuntingan, latihan dalam talian dan sesi bimbingan juga telah dilaksanakan pada program pembukaan ini oleh Farouk Azim, selaku penyelaras program Wikimedia Malaysia, jurulatih utama Penulisan Artikel dalam Wikipedia Bahasa Kadazandusun iaitu Cik Jilorisa John, Cik Michelina Binti Michael dan Cik Correl Moris yang juga merupakan bekas guru pelatih di IPGM Kampus Kent dan kini berkhidmat sebagai guru Bahasa Kadazandusun.

“Program seperti ini sangat penting dan dapat membantu melestarikan bahasa Kadazandusun bukan sahaja di Sabah tetapi di pelusuk dunia dan diharapkan agar bahasa Kadazandusun ini boleh menjadi salah satu bahasa yang menjadi penanda aras untuk negeri Sabah di mana apabila menyebut Sabah, orang akan ingat bahasa Kadazandusun,” kata Tuan Haji Harun Bin Haji Sarail, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Kent sewaktu merasmikan pelancaran Program 100 Hari Wikipedia ini.

John Bin Gitom selaku Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun menyuarakan harapan agar ilmu yang diperolehi ini akan membantu mengasah minda setiap siswa guru untuk lebih memahami dan mengetahui bagaimana menghasilkan satu artikel yang berkualiti.

Wikipedia Bahasa Kadazandusun yang merupakan wikipedia pertama bagi bahasa etnik di Malaysia telah dilancarkan pada 28 Mei 2024 dan bertujuan untuk memelihara warisan budaya dan memperluas ilmu dalam bahasa ibunda.

Melalui platform ini, masyarakat boleh menyumbang artikel dan mengakses maklumat dalam bahasa sendiri.

Puan Rosmahwati Binti Ebbie selaku pensyarah penyelaras program berharap sasaran untuk menghasilkan 378 artikel baharu dalam Wikipedia Bahasa Kadazandusun pada penghujung tempoh 100 hari ini akan tercapai.

Program yang berakhir pada jam 3 petang ini merupakan antara inisiatif untuk menyokong misi Wikimedia ungtuk menyediakan ilmu secara terbuka dalam semua bahasa, sekaligus memartabatkan bahasa Kadazandusun dalam era digital.

Turut hadir dalam program itu ialah Puan Lorendah Joseph, pegawai meja Bahasa Kadazandusun, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, para pensyarah JBKD En. Victor Baga, Dr Wilfred Bin Dousip, Dr Rosie Johnny dan siswa guru PISMP Ambilan September 2021 – Julai 2026 dan PPISMP BKD Ambilan Ogos 2024 – Julai 2029.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles