Kenyataan Media Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) memandang serius penyiaran tulisan dan poster oleh MAWAR Channel di Facebook berhubung Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang yang mengandungi dakwaan tidak benar, mengelirukan serta berniat membentuk persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Dakwaan kononnya ammonia dan urea dari Sabah dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk diproses menjadi baja adalah tidak tepat dan memperlihatkan kegagalan memahami operasi sebenar loji SAMUR.
Hakikatnya, loji SAMUR di Sipitang merupakan antara loji pengeluaran baja urea terbesar di Asia Tenggara dan menghasilkan produk baja siap sepenuhnya di Sabah. Produk tersebut dipasarkan ke pasaran domestik dan antarabangsa berdasarkan pertimbangan komersial bagi memaksimumkan pulangan kepada syarikat dan negeri.
Lebih mendukacitakan, poster berkenaan turut menggunakan gambar Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dalam bahan berunsur politik dan fitnah. Institusi TYT Sabah adalah institusi negeri yang wajib dihormati dan tidak sepatutnya diseret ke dalam propaganda politik murahan bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.
Sehubungan itu, kandungan tulisan dan poster MAWAR Channel akan dirujuk kepada pihak peguam untuk tindakan undang-undang yang sewajarnya. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah, memanipulasi fakta atau mencemar nama baik pemimpin serta institusi negeri.
MAWAR Channel juga perlu berhenti memperkecilkan usaha Sabah memperkukuh kedudukan dalam industri minyak dan gas. Melalui SMJ Energy, Sabah kini memiliki 25 peratus pegangan ekuiti dalam loji SAMUR, sekali gus menjadikan negeri ini rakan strategik yang mempunyai kepentingan langsung dalam aset berkenaan.
Pegangan ekuiti ini memberi manfaat besar kepada Sabah melalui pulangan keuntungan, dividen dan hasil komersial yang boleh disalurkan semula untuk pembangunan negeri, penciptaan peluang pekerjaan serta pengukuhan ekonomi rakyat.
Selain itu, penglibatan wakil SMJ Energy dalam struktur tadbir urus syarikat berkaitan turut membuka ruang kepada Sabah untuk memainkan peranan lebih langsung dalam hala tuju korporat, penyertaan tempatan dan pembangunan industri strategik negeri.
Tuduhan kononnya Sabah tidak mendapat manfaat daripada industri ini adalah tidak tepat dan sengaja dimainkan bagi mengelirukan rakyat.
Pembangunan industri baja, petrokimia serta minyak dan gas bukan isu yang boleh dinilai melalui sentimen semata-mata. Ia melibatkan aspek pasaran, modal, teknologi, logistik, daya maju industri, tenaga kerja mahir serta jaringan perdagangan antarabangsa. Kerajaan yang bertanggungjawab membuat keputusan berdasarkan kepentingan ekonomi jangka panjang negeri, bukan sekadar retorik media sosial.
Pada masa sama, pihak yang cuba mengangkat Datuk Seri Shafie Apdal sebagai tokoh paling tegas mempertahankan hasil Sabah juga perlu berlaku adil terhadap rekod pentadbiran beliau sendiri.
Ketika memegang jawatan Ketua Menteri, apakah model pemilikan atau penyertaan komersial besar yang benar-benar dimuktamadkan bagi memperkukuh kedudukan Sabah dalam aset strategik minyak dan gas?
Mudah untuk bercakap selepas tidak lagi berada dalam kerajaan.
Namun ketika diberi mandat mentadbir negeri, pendekatan tersebut tidak diterjemahkan secara menyeluruh kepada struktur pemilikan, penyertaan ekuiti dan pulangan komersial yang nyata kepada Sabah.
Sebab itu rakyat perlu menilai berdasarkan hasil dan pencapaian, bukan sekadar slogan politik atau nostalgia kepimpinan lampau.
Kerajaan GRS tidak pernah menolak kepentingan industri hiliran di Sabah. Malah, hala tuju kerajaan negeri jelas iaitu memperkukuh penyertaan Sabah dalam keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas secara berperingkat, realistik dan memberi pulangan sebenar kepada negeri serta rakyat.
MAWAR Channel boleh terus memainkan sentimen politik, namun rakyat Sabah berhak mengetahui fakta sebenar. GRS memilih untuk bekerja dan menghasilkan keputusan, bukan menunggang kemarahan kosong.
Saya menyeru MAWAR Channel supaya menarik balik tulisan serta poster tersebut, menghentikan penyebaran dakwaan mengelirukan dan memohon maaf atas tindakan tidak bertanggungjawab menggunakan imej TYT Sabah dalam propaganda politik mereka.
Sekiranya fitnah seperti ini terus dimainkan, tindakan undang-undang adalah langkah yang wajar bagi mempertahankan kebenaran serta maruah kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah.
Sabah tidak akan maju dengan politik fitnah. Sabah akan maju melalui kestabilan politik, keberanian berunding, kebijaksanaan mengurus aset strategik dan kepimpinan yang mengutamakan hasil berbanding slogan.
