KOTA KINABALU : Kelewatan menyelesaikan permohonan tanah adat atau ‘Native Title’ merupakan satu bentuk penafian hak asasi rakyat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, isu tanah anak negeri bukan sekadar soal pentadbiran atau teknikal, sebaliknya ia adalah soal keadilan yang sudah lama tertangguh.
Katanya, sehingga kini lebih 30,000 permohonan Native Title masih belum diselesaikan, ada yang telah menunggu 10 hingga 15 tahun.
“Tanah adat bukanlah satu ‘anugerah’ daripada kerajaan, sebaliknya merupakan hak asal-usul rakyat peribumi yang diiktiraf oleh undang-undang dan termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah,” katanya.
Menurutnya, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan perlombongan emas di kawasan tanah adat, khususnya di Nagos, Semporna yang didakwanya berpotensi mengancam hak dan kehidupan masyarakat tempatan.
“Saya beri amaran keras, jangan sentuh tanah adat di Nagos. Ia bukan untuk dikaut oleh syarikat luar demi keuntungan jangka pendek. Ini tanah warisan yang harus dipertahankan.
“Kerajaan negeri perlu segera menggubal pelan tindakan yang telus, adil dan berpaksikan rakyat untuk menyelesaikan tunggakan permohonan tanah adat serta menghentikan sebarang bentuk eksploitasi terhadap kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Sementara itu, Shafie turut menzahirkan kebimbangan terhadap hala tuju ekonomi negeri yang masih bergantung kepada eksport bahan mentah dan kurang nilai tambah.
“Kegagalan kerajaan negeri membina ekonomi berasaskan industri kecil dan teknikal adalah bukti ketiadaan visi dan keberanian.
“Masalah utama Sabah bukanlah kekurangan sumber, tetapi ketiadaan visi untuk memanfaatkannya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan ketelusan pelaburan sebanyak RM6.5 bilion yang diumumkan oleh kerajaan negeri.
“Berapa banyak yang benar-benar direalisasikan? Siapakah pelabur sebenar? Dan paling penting, apakah manfaat kepada rakyat?”
“Kita dapati bahawa banyak projek besar seperti SOGIP lebih menguntungkan syarikat luar daripada penduduk tempatan,” katanya.