SANDAKAN: Usaha menerangi kawasan gelap di Karamunting semakin giat dijalankan apabila Pejabat ADUN Karamunting memasang sebanyak 20 unit lampu solar di sepanjang Jalan Pintas Indah Sibuga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa pemasangan ini adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan pejalan kaki di kawasan yang sememangnya gelap dan tiada lampu jalan.
“Jalan ini sangat gelap waktu malam dan boleh membahayakan keselamatan. Jadi, kita ambil inisiatif pasang lampu solar untuk bantu terang kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, lampu solar dipilih kerana ia menjimatkan kos, tidak memerlukan sambungan elektrik, dan tetap boleh berfungsi sekiranya tiada bekalan elektrik.
Jalan Pintas Indah Sibuga merupakan salah satu laluan utama yang sering digunakan penduduk untuk berulang-alik ke pusat bandar, dan ketiadaan lampu jalan sebelum ini menimbulkan kebimbangan terutama ketika hujan atau waktu lewat malam.
George berkata pihaknya turut mengenal pasti beberapa lokasi lain di kawasan Karamunting yang memerlukan lampu solar dan akan mempertimbangkan pemasangan fasa seterusnya bergantung kepada keperluan dan maklum balas penduduk.
“Ini adalah usaha kecil tapi penting untuk terangi Karamunting. Harapan saya, inisiatif ini dapat beri rasa selamat kepada penduduk dan pengguna jalan ini,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan projek berkenaan.
Pemasangan lampu solar itu telah disiapkan pada Jumaat lalu.