SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong Ket Kiun menzahirkan kebimbangan yang serius berhubung pendedahan terkini yang melibatkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya dikaitkan dengan dakwaan menerima rasuah berjumlah RM350,000
ADUN daripada Parti Warisan itu menegaskan isu itu bukan sahaja telah menjejaskan kredibiliti individu yang disebut, malah turut mencalar imej serta integriti institusi legislatif negeri Sabah secara keseluruhan.
“Sebagai Yang Dipertua, beliau memegang amanah rakyat untuk menjadi simbol ketelusan, keadilan dan profesionalisme dalam memastikan perjalanan sidang dewan yang bebas dan adil.
“Walaupun siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan dan kita harus menghormati prinsip “seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”, namun dalam konteks kepimpinan yang memerlukan keyakinan umum, saya berpendirian bahawa Yang Dipertua perlu mengambil langkah bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan serta-merta untuk sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Calvin berkata ini penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi dan prinsip pemisahan kuasa (trias politica) terus terpelihara.
“Bukan sahaja Yang Dipertua Dewan, malah SEMUA ADUN yang sedang disiasat atau terpalit dengan dakwaan rasuah juga WAJIB meletakkan jawatan mereka buat sementara waktu.
“Ini adalah satu langkah wajib untuk mengelakkan campur tangan mereka dalam siasatan yang sedang berlangsung dan bagi memastikan mereka tidak mempunyai ruang untuk memadam atau menyembunyikan bukti-bukti penting,” katanya,
Menurutnya langkah itu bukan bertujuan menghukum lebih awal, tetapi sebagai prosedur integriti minimum dalam sesebuah kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.
“Sekiranya mereka benar-benar tidak bersalah, mereka boleh kembali ke jawatan asal setelah siasatan selesai dan nama mereka dibersihkan.
“Namun buat masa ini, keluarlah dari jawatan, berilah ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa gangguan atau pengaruh dalaman.
“Jika kita gagal menguatkuasakan perkara ini, tidak mustahil lebih banyak bukti akan hilang, lebih banyak kes akan ditutup tanpa keadilan, dan rakyat akan terus kehilangan keyakinan terhadap sistem pentadbiran negeri Sabah,” katanya.
Sebagai wakil rakyat Elopura, Calvin percaya bahawa pemimpin yang benar-benar berintegriti akan meletakkan kepentingan institusi dan rakyat di atas kepentingan peribadi.
“Jika kita benar-benar mahu memulihkan imej pentadbiran negeri Sabah, kita tidak boleh bersikap acuh tak acuh terhadap skandal yang melibatkan pucuk pimpinan dewan,” katanya,
Katanya rakyat hari ini semakin celik dan peka terhadap perkembangan politik. Mereka mahu melihat pemimpin yang berani bertanggungjawab, bukannya bersembunyi di sebalik jawatan.
“Sikap lepas tangan hanya akan memburukkan lagi imej kerajaan negeri Sabah dan menimbulkan persoalan adakah wakil rakyat yang ada sekarang ini benar-benar bekerja untuk rakyat ataupun semata-mata menjaga kepentingan sendiri.
“Saya juga ingin mengingatkan kerajaan negeri Sabah agar tidak mengamalkan pendekatan “double standard” dalam isu-isu integriti. Jangan sampai rakyat melihat seolah-olah ada pihak yang kebal daripada tindakan undang-undangan, sementara rakyat biasa terus dibebani dengan pelbagai ketidakadilan,” tambah beliau.
Ujar beliau, “sebagai rakyat Sabah, saya menyeru rakyat untuk berani membuat keputusan bijak dalam Pilihan Raya Negeri akan datang”.
“Kita harus mencontohi Sarawak, di mana pentadbiran parti tempatan berjaya membawa pembangunan pesat kepada negeri tersebut.
“Sabah yang kaya dengan sumber alam sepatutnya tidak lagi ketinggalan dalam arus pembangunan. Cukuplah lima tahun kita menghadapi masalah bekalan elektrik terputus, gangguan air, banjir kilat, jalan rosak yang tidak berkesudahan.
“Masa depan Sabah mesti dikembalikan kepada tangan pemimpin yang benar-benar berwawasan dan ikhlas memperjuangkan nasib rakyatnya,” katanya.
Beliau menggesa Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah dan ADUN yang terlibat dengan kes skandal rasuah untuk berundur secara terhormat demi memelihara maruah institusi yang beliau wakili.
“Jangan biarkan rakyat terus hilang keyakinan terhadap sistem pentadbiran negeri ini. Sudah tiba masanya kita bergerak ke hadapan dengan kepimpinan yang bersih, telus dan bertanggungjawab,” katanya,