Belia perlu pantas akses maklumat, ceburi sektor keusahawanan – Ewon

PENAMPANG: Golongan belia diseru agar pantas mendapatkan akses kepada maklumat mengenai peluang keusahawanan yang disediakan Kerajaan Madani bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam sektor ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata semua maklumat berkaitan pembiayaan dan geran usahawan sudah tersedia dalam laman web pelbagai kementerian dan agensi yang mudah diakses oleh masyarakat.

“Maklumat ini sedia ada dalam laman web kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang boleh diperolehi dengan mudah melalui telefon bimbit kita masing-masing.

“Oleh itu saya berharap golongan belia tidak melepaskan peluang pembiayaan keusahawanan yang disediakan kerajaan melalui kementerian dan agensi-agensi kerajaan termasuk yang berada di bawah kementerian saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Upper Moyog bertemakan “Generasi Belia Berinspirasi Yakin Boleh” di Dewan Kampung Moyog, di sini, hari ini.

Ewon berkata, KUSKOP menyediakan pelbagai program khas untuk belia, termasuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).

“Daripada 503 usahawan belia di seluruh negara yang akan menyertai program TUBE, tahun ini, 110 orang adalah dari Sabah, yang saya lancarkan baru-baru ini.

“Saya berharap bila saya lancarkan (tahun depan), ramai belia dari Moyog akan merebut peluang untuk menyertai program ini dan menjadi usahawan berjaya,” katanya.

Beliau berkata selain Program TUBE, kementerian menerusi SME Corp juga menyediakan pembiayaan khusus untuk usahawan di Sabah dan Sarawak iaitu Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP Plus).

“Sebelum saya menerajui kementerian ini, saya dimaklumkan bahawa apabila BEEP dilancarkan, usahawan seluruh Malaysia memohon, malangnya Sabah terlambat mendapat maklumat dan mengemukakan permohonan.

“Oleh itu, bagi memastikan Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan mendapatkan pembiayaan itu, saya telah memperkenalkan BEEP Plus iaitu skim khas untuk usahawan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Tahun lepas, kita telah menyalurkan lebih RM13 juta kepada 163 usahawan dari Sabah dan Sarawak di bawah Program BEEP Plus,” katanya.

Mengenai kemudahan keusahawanan di Penampang, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, kerajaan melalui TEKUN Nasional telah membangunkan Live Hab Studio TikTok Shop pertama di Malaysia di Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Penampang.

“Ini adalah satu lagi usaha kerajaan melalui KUSKOP untuk membawa kemudahan lebih dekat dengan usahawan di Penampang. Saya berharap usahawan-usahawan belia dapat menggunakan kemudahan ini untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Mengenai Projek Premis Tamu Desa, Ewon berkata, di Penampang, Tamu Desa Togudon, Tamu Desa Babagon, Tamu Desa Inobong, dan Tamu Desa Mahandoi telah siap dibina, manakala beberapa lagi cadangan telah dikemukakan untuk pelaksanaan pada tahun ini.

“Sebagai anak yang pernah membantu ibu saya berjualan di tamu, saya memahami keperluan peniaga kecil khususnya ibu-ibu, maka, Projek Premis Tamu Desa dilaksanakan khusus untuk Sabah dan Sarawak, bermula tahun lepas dan akan diteruskan pada tahun ini supaya kemudahan premis yang lebih baik dapat disediakan kepada usahawan-usahawan tamu,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles