KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa melibatkan wanita dalam apa jua bentuk inisiatif ke arah pembangunan negeri Sabah yang berdaya saing, berdaya maju dan mampan.
Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah, Datuk Seti Panglima Azizah Mohd Dun berkata sebagai seorang wanita beliau amat berterima kasih kepada Datuk Hajiji Noor kerana Bajet 2025 telah mengetengahkan 7 perkara.
Kata beliau antaranya Program Pembangunan Wanita melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk pelbagai program operasi dan pelaksanaan, Program Kredit Mikro oleh Yayasan Usaha Maju (YUM), Program Keusahawanan Wanita Muda (Perbadanan Pinjaman Sabah dan IDS), Komitmen peningkatan Wanita dalam Pembuat Keputusan, Pembangunan Usahawan melalui IKS dan Program Kesejahteraan Wanita dan Skim-Skim Bantuan (Ibu Tunggal dan Warga Emas).
Jelas Azizah secara keseluruhan program-program yang diperuntukkan dalam Bajet Negeri Sabah 2025 khusus untuk Wanita memainkan peranan yang sangat penting untuk meningkatkan peranan Wanita di Sabah .
“Dalam peningkatan taraf hidup, pemerkasaan Wanita, penyumbang kepada pembangunan negeri dan mengurangkan jurang gender bagi memastikan peluang yang adil bagi semua,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Menjunjung Kasih bersama isteri TYT Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni di sebuah hotel terkemuka di sini semalam
Majlis itu khusus untuk meraikan isteri TYT Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M Jasni selaku Penaung Perkumpulan Perempuan Sabah.
Hadir sama Naib Presiden Annie Lourdes, Setiausaha Agung, Mariayati Kastari, Bendahari Agung, Norly Abdullah, Penolong Setiausaha Agung, Siti Harinah DSP Mohd Dun serta ahli jawatankuasa PPS.
Dalam majlis tersebut turut diraikan yang bersara dari PPS terdiri mantan Naib Presiden, Hajah Nurliah Haji Abdul Jalil, mantan Bendahari Agung, Hajah Noraini Damsik, ahli jawatankuasa Hjh Rokayah DSP Hj Salleh dan Datuk Seri Panglima Hajah Salmah Haji Abdul Rahman.
Menurut Azizah beliau beryakin anapabila wanita diberikan ruang, peluang dan sokongan yang sewajarnya, kita bukan sahaja dapat membina kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarga, tetapi juga boleh menjadi tunjang kepada pembangunan negeri.
“Saya berharap usaha mencapai 30% penyertaan wanita dalam peringkat pembuat keputusan akan dapat direalisasikan. Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah atas inisiatif dan kesungguhan dalam pembelaan terhadap kita wanita di Negeri Sabah ini. Semoga Belanjawan Sabah 2025 akan menjadi titik-tolak untuk masa depan yang lebih cerah dan makmur bagi kita wanita di negeri Sabah yang tercinta ini,” katanya.