Oleh Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan, Parti Gagasan Rakyat Sabah
KOTA KINABALU: Saya menyambut baik langkah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) untuk membawa pindaan berkaitan penstrukturan jumlah bahagian parti daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian, sebagaimana yang terkandung dalam agenda Persidangan Agung Khas PGRS di bawah Fasal 16.1.
Pindaan ini merupakan satu langkah strategik dan berpandangan jauh bagi memastikan struktur parti lebih kemas, tersusun dan berkesan dalam menghadapi cabaran politik semasa. Penstrukturan daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian bukan sekadar perubahan angka. Ia adalah usaha memperkukuh gerak kerja parti supaya lebih fokus, lebih mudah diselaraskan dan lebih berupaya digerakkan secara menyeluruh di peringkat akar umbi.
Saya percaya, struktur yang lebih tersusun akan membantu mengurangkan pertindihan gerak kerja, mempercepat penyampaian arahan, serta memastikan tenaga dan sumber parti dapat digunakan dengan lebih cekap. Melihat keadaan politik hari ini yang semakin mencabar, parti memerlukan organisasi yang bukan sahaja besar dari segi sokongan, tetapi juga kuat dari segi disiplin, penyelarasan dan keberkesanan jentera.
Pindaan ini juga wajar dilihat sebagai langkah untuk memperkukuh perpaduan dalaman. Apabila gerak kerja disusun mengikut struktur yang lebih kemas, pemimpin dan jentera di setiap kawasan dapat bergerak sebagai satu pasukan, bukan secara terpisah-pisah. Saya ingin menegaskan bahawa penstrukturan ini tidak harus dilihat sebagai pengurangan peranan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia adalah penyusunan semula kekuatan agar PGRS terus menjadi parti tempatan Sabah yang lebih mantap, responsif dan dekat dengan rakyat.
Sebagai Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah, saya melihat kekuatan PGRS sebagai sangat penting kepada kestabilan GRS dan kerajaan negeri. PGRS yang tersusun dan kukuh akan turut memperkukuh GRS sebagai gabungan politik tempatan yang menjadi tunjang kepada kestabilan Sabah. Saya juga percaya bahawa langkah ini mencerminkan keberanian dan kebijaksanaan kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selaku Presiden PGRS dan Pengerusi GRS dalam melakukan penyesuaian yang perlu demi masa depan parti.
Apa yang penting, semua pihak perlu melihat pindaan ini dengan jiwa besar. Ia bukan soal mengecilkan ruang, tetapi soal menyusun semula kekuatan. Ia bukan soal mengurangkan peranan, tetapi soal memperkukuh gerak kerja. Saya yakin penstrukturan ini akan menjadikan PGRS lebih bersedia, lebih tersusun dan lebih kukuh dalam meneruskan perjuangan membela rakyat serta mempertahankan kepentingan Sabah.
