TAWAU: Keterbukaan Ketua Menteri Sabah yang memperakui tidak menyembunyikan apa-apa malah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa khasnya SPRM dalam isu berkaitan tuduhan rasuah melibatkan beberapa pemimpin GRS adalah isyarat jelas bahawa beliau menolak sebarang tuduhan berniat jahat yang mahu ‘membunuh’ imej kepimpinan kerajaan negeri yang diterajuinya.
Penganalisis politik, Mohd Zaki Harry Susanto berkata, pendekatan terbuka serta berani Hajiji bukan hanya memperlihatkan ketelusan dan ketegasan beliau dalam isu tersebut malah ia gambaran keyakinan tinggi beliau terhadap SPRM yang membuat penyiasatan profesional selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Hajiji percaya ada cubaan merasuah dibuat oleh pihak tertentu untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan dan apabila gagal, pihak tidak bertanggungjawab tersebut menjadikannya sebagai medan untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Sabah.
“Kerana itu Hajiji mahu pemberi rasuah yang kini cuba mendapatkan imuniti turut disiasat di atas tindakan tidak beretikanya yang dari awal lagi seolah-olah berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, Zaki percaya tuduhan tersebut akan sedikit-sebanyak memberikan kesan kepada GRS tetapi yakin ia bukanlah satu pengakhiran kepada kerajaan sedia ada.
“Musuh politik GRS akan menjadikan isu ini sebagai satu propaganda apatah lagi di ambang PRN Sabah ke-17 yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.
“Apa cara sekalipun, mereka akan berusaha menjatuhkan kerajaan semasa di Sabah dengan menjadikan GRS sebagai sasaran utama. Untuk itu, GRS perlulah melipatgandakan usaha mengawal semua bentuk ‘serangan’ yang cuba memburukkan mereka dan memulihkannya (damage control) dalam kadar segera. Jika tidak, wibawa GRS akan terus terhakis dan semakin memakan masa untuk dipulihkan.
“Penerangan serta penjelasan yang berterusan perlu dibuat agar semua pihak tidak mudah terpengaruh dengan maklumat kurang tepat. Selain itu, kepercayaan penuh juga perlu diberikan kepada proses siasatan pihak berkuasa khasnya SPRM. Apa jua tindakan maupun keputusan yang dibuat oleh mereka, ia haruslah dihormati,” katanya.
Zaki berkata rakyat juga diminta tidak dengan mudah menghakimi mana-mana pihak dan perlulah menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa (SPRM).
Ini kerana, katanya, dalam era serba canggih pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuklah perkara yang di luar jangkauan pemikiran kita.
“Mungkin juga perancangan yang awal telah dibuat untuk memerangkap mana-mana pihak dan ia akhirnya didedahkan kepada umum bagi tujuan yang tidak baik,” katanya.