KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed menyelar kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd yang cuba mengaitkan UMNO sebagai pihak yang cuba menggunakan “paksaan”
untuk menentu, mencatur siapa bergabung dengan siapa dalam arena politik Sabah.
Sambil menafikan tanggapan itu, Jeffery berkata mereka wajar cermin perbuatan sendiri yang menyaksikan “orang-orang UMNO dipaksa melompat ke parti lain” semata-mata untuk survival perjuangan politik mereka.
“Cara berpolitik sebegini tak serupa dengan apa yang diperkatakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jeffery yang juga Ketua UMNO bahagian Putatan berkata hubungan kondusif antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bukan menjadi isu yang perlu ditonjolkan, “apa yang penting sekarang ialah kerajaan negeri sebenarnya berdepan pelbagai isu rakyat termasuk masalah air, elektrik dan infrastruktur”.
“Tidak perlu lah mengabui mata rakyat dengan apa yang dicapai sedangkan sendiri tidak boleh menyelesaikan masalah rakyat yang berlarutan ini,” katanya.
Terdahulu, Armizan dipetik sebagai berkata bahawa orang-orang Sabah tidak boleh dipaksa-paksa, sambil berkata ‘jangan ada paksaan daripada mana-mana pihak luar untuk menentu, mencatur siapa bergabung dengan siapa sebab orang Sabah ini tidak boleh dipaksa”.
Jeffery berkata mereka semua pernah berada dalam UMNO sebelum ini sebelum menyertai Bersatu dan sekarang masuk GRS.
“Apabila kalah dalam PRN atau PRU, UMNO ditinggalkan begitu sahaja. Kita semua tahu ini sikap prinsip pemimpin yang lemah, dan bagi kami pimpinan baru dalam UMNO Sabah melihat karakter ini sebagai satu yang tidak boleh dterima sama sekali dalam kita menghadapi realiti hidup sekarang,” katanya.
Menurut Jeffery isu parti lokal atau parti nasional tidak sepatutnya menjadi isu kerana apa yang rakyat Sabah mahu ialah isu-isu asas diselesaikan segera supaya rutin kehidupan rakyat kembali stabil dan aman.
“Setakat mendendangkan (retorik) mahu kerajaan yang stabil sedangkan urusan kehidupan rakyat tidak stabil… mana mungkin negeri akan stabil,” kata Jeffery.