KOTA KINABALU : Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2024 merupakan platform utama membincangkan masa depan hala tuju parti.
Ketua Pergerakannyq, Emmie Martin Idang berkata, ahli diingatkan agar lupa serta tidak mengabaikan fakta sekali gus memastikan parti menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, kemungkinan ini merupakan persidangan terakhir sebelum memasuki fasa PRN tahun depan.
“Oleh itu, adalah penting untuk menggunakan ruang bersama-sama mencari kaedah, hala tuju, ketetapan dan membulatkan tekad kita untuk mengukuhkan perjuangan parti ini.
“Gunakan ruang ini untuk bagaimana membantu parti untuk menang serta memastikan Gagasan Rakyat kembali menjadi kerajaan selepas PRN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan dasar Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat 2024 di sini, hari ini.
Emmie berkata, walaupun Gagasan Rakyat bukan parti yang mempunyai sejarah berdekad panjang, tidak bermakna parti ini tidak komited untuk merubah suasana politik di negeri ini.
“Jika kita perhati arus semasa politik di Sabah ini, saya yakin kita semua dapat merasakan kembalinya politik yang berteraskan ‘Local Party’.
“Saya kira, dalam banyak pertemuan kita dengan rakyat Sabah sendiri sekali pun arus ‘Suara dan Nada Tempatan’ ini cukup kuat dan bergema di segenap peringkat,” jelas Emmie.
Menurutnya, atas landasan perubahan sifat dinamik itulah melahirkan Gagasan Rakyat, sebuah parti mempunyai relatifnya baharu dan berusia muda mampu menjadi lebih tangkas dan komited.
“Kita perlu buktikan kepada masyarakat bahawa baharu dan mudanya usia bukan bermakna kita lemah dan tidak matang.
“Kita juga perlu buktikan bahawa walaupun secara teknikalnya baru, tetapi parti kita diterajui kalangan pemimpin mempunyai kebijaksanaan, kematangan, ketenangan, kesungguhan membantu rakyat Sabah,” kata Emmie.