KOTA KINABALU: Kepelbagaian etnik, adat resam, bahasa, seni dan tradisi di Sabah merupakan warisan yang perlu dipelihara dan dipertahankan, kata Yang Dipertua Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) Datuk Abdullah Sibil.
Menurutnya kepelbagaian itu juga aatu kekuatan yang boleh dimanfaatkan untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Atas kesedaran inilah, kita melihat keperluan untuk menghubungkan warisan budaya dengan teknologi, pelancongan dan keusahawanan menerusi MAGEBS (SABAH) SMART CARD.
“Ia merupakan satu langkah ke arah meneroka peluang baharu melalui teknologi digital.
“Kita mahu membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan, peniaga kecil, pengusaha produk budaya dan komuniti pelancongan untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pasaran yang lebih luas,” katanya.
Abdullah berkata demikian dalam ucapan aluannya senpena majlis pelancaran MAGEBS (Sabah) Smart Card di SICC, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga mahu menggalakkan lebih ramai rakyat Sabah daripada pelbagai latar belakang untuk mengambil bahagian, di samping mengalu-alukan pelancong dari seluruh Malaysia dan luar negara agar lebih dekat dengan keunikan budaya serta produk tempatan Sabah.
Ke arah itu, katanya MAGEBS bekerjasama dengan MSH Mega Tech Sdn. Bhd. sebagai rakan teknologi bagi membangunkan ekosistem yang menghubungkan pengguna, pelancong dan merchant yang mengambil bahagian.
“Kami menyedari bahawa pelancaran hari ini hanyalah permulaan. Kejayaan sebenar bergantung pada kerjasama, penyertaan dan manfaat yang dapat kita bangunkan bersama selepas ini,” katanya.
Oleh itu, Abdullah menyeru persatuan persatuan etnik, usahawan, merchant dan seluruh masyarakat supaya bersamasama meneroka peluang yang ditawarkan oleh inisiatif ini.
“Marilah kita memastikan bahawa warisan budaya bukan sahaja terus dipelihara, tetapi turut menjadi sumber inspirasi, peluang dan kemajuan untuk generasi akan datang,” katanya.
