KUNAK: Barisan Nasional (BN) Sabah perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika tiada kesepakatan untuk bergabung dengan parti-parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 , kata Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Beliau yang juga Ketua Umno Sabah berkata, walaupun sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamad kerjasama termasuk kemungkinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berkerjasama untuk menghadapi PRN yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya tahun depan, namun dari beberapa kenyataan parti tempatan dan pemimpin tertentu di negeri ini turut membayangkan mereka akan bergerak solo pada PRN akan datang.
“Jika mereka bergerak solo ,BN/UMNO Sabah tidak ada halangan malah saya mengajak semua parti yang ingin bergerak secara solo dalam PRN akan datang agar bersiap sedia untuk menerima tentangan sengit dari kami (BN/UMNO), ” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Program Gerak 17 UMNO bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak pada Sabtu.
Bung menegaskan UMNO/BN Sabah tidak sesekali gentar dan menasihati parti yang sudah mengumumkan tidak mahu bergabung dan mahu bergerak sendiri, agar bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah .
“Kebelakangan ini banyak kecendurangan parti parti tertentu di Sabah termasuk GRS untuk bertanding secara bersendirian dalam PRN akan datang, saya cadangkan jangan tarik balik kenyataan tersebut, teruskan biar kita bersabung seperti ayam Jantan di gelanggang, ” katanya.
Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, BN/UMNO Sabah lebih suka kalau banyak parti mahu bertanding secara solo, dan bagi UMNO/BN ianya bukanlah satu masalah, ini kerana BN/UMNO Sabah telah pun bersedia dan menyusun strategi yang baik dalam PRN kali ini.
“UMNO/BN merupakan sebuah organisasi lengkap, jentera kita sudah bersedia. BN/UMNO telah lalui beberapa siri PRN /PRK termasuk soal penipuan sudah kita lalui dan akan menjadi pengalaman serta pengajaran untuk kita lebih bersedia dan fokas untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Dalam soal kerjasama dengan gabungan parti lain bagi menghadapi PRN Ke-17 akan datang, Bung menegaskan pendirian UMNO/BN Sabah yang parti itu hanya akan menjalin kerjasama bersama parti gabungan yang lain bersandarkan kepada prinsip menghormati perjanjian satu sama lain iaitu bukan sahaja memberikan manfaat kepada parti tapi juga rakyat Sabah secara keseluruhannya.
“Pengalaman yang pernah kita lalu dari proses gabungan sebelum ini telah menafikan sumbangan UMNO/BN, jadi perkara ini turut mematangkan UMNO Sabah. Sebarang keputusan untuk bergabung dengan lain-lain parti tidak akan merugikan UMNO, yang penting UMNO Sabah perlu diperkuatkan terlebih dahulu,” katanya.
Sebelum itu Bung turut melancarkan program yang sama bagi kawasan DUN Segama.
Berucap di majlis itu Bung yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan mengajak pemimpin dan ahli parti di semua peringkat agar memberikan keutamaan untuk memperkukuhkan parti terlebih dahulu
Katanya, soal kerjasama atau bergerak secara solo ianya akan ditentukan kemudian apa yang penting ketika ini UMNO/BN perlu memperkuatkan jenteranya sendiri .
“Samada kita akan bersama gabungan atau bersendirian menghadapi PRN akan datang itu bukan isu utama ,keutamaan ialah kepada kekuatan dan persediaan UMNO/BN .Apabila kita bersatu dan kuat ,UMNO/BN akan dihormati” jelas Bung.
Hadir sama di majlis tersebut Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin, Ketua Wanita Umno Sabah Datuk Noraini Idris, Ketua Umno bahagian Lahad Datu Sharif Musa Sharif Mabul, Ketua Pemuda Umno Lahad Datuk Datuk Seri Dr Anil Sandu dan Adun Segama Datuk Mohamadin Ketapi