KOTA KINABALU : Tanah seluas 12 ekar diwartakan sebagai Tanah Rizab untuk Tapak Penempatan tetap bagi menempatkan 212 penduduk di Kampung Teluk Layang Baru.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karambunai, Nerudin Ludah berkata, sebelum ini tular apabila pihak berkuasa mengeluarkan notis supaya penduduk kampung diarah berpindah sekali gus mengosongkan kawasan lama mereka dalam tempoh terdekat.
Katanya, selepas perbincangan secara terperinci dijalankan bersama agensi berkaitan persetujuan dicapai manakala pihak berkuasa memberi persetujuan pelanjutan tempoh selama enam bulan kepada penduduk di Kampung Teluk Layang.
“Pada hari ini, penduduk kampung boleh menarik nafas lega apabila kerajaan melalui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersetuju meluluskan tanah seluas 12 ekar bagi membolehkan mereka dapat berpindah sekali gus membina rumah baharu di kawasan ini.
“Pihak berkuasa kini sedang membuat kajian untuk melakukan kerja-kerja persempadanan dijangka akan bermula pada bulan November ini,” katanya dalam sidang media pada Isnin.
Nerudin merupakan Beliau Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karambunai berkata, setakat ini hanya penduduk disahkan sebagai warganegara Malaysia serta mempunyai kad pengenalan dibenarkan untuk tinggal di kawasan baharu itu.
“Bagi penduduk didapati tidak mempunyai kad pengenalan perkara ini akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan susulan.
“Setakat ini bancian sudah dijalankan sekali gus disahkan hanya 155 penduduk mempunyai kad pengenalan manakala 42 penduduk dikenal pasti mempunyai sijil lahir serta selebihnya tidak memiliki dokumen peribadi,” jelas Nerudin.
Menurutnya, kerajaan sentiasa peka terhadap sebarang permasalahan oleh penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai serta menolak sebarang tohmahan fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan rakyat Sabah serta berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk kampung,” kata Nerudin.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris berkata, beliau melahirkan perasaan syukur selepas isu penempatan Kampung Teluk Layang dapat diselesaikan kerajaan negeri dalam tempoh waktu singkat.
“Kita hairan, apa kerja yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini di kawasan DUN Karambunai mengapa tidak muncul untuk menyelesaikan masalah mereka.
“Kawasan tapak baharu ini nanti tidak akan menjejaskan kehidupan seharian mereka selaku nelayan pesisir pantai berikutan kawasan tempat tinggal mereka berdekatan dengan kawasan sungai,” jelas Arshad.
Menurutnya, kawasan Tanah Rizab Tapak Penempatan Kampung Teluk Layang Baru nanti ini akan dilengkapkan dengan kemudahan bekalan air dan elektrik serta jalan raya.k