KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam proses menggubal akta koperasi yang baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502].
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak 96 peruntukan asal dalam Akta 502 akan disusun dan ditambahbaik semula. Dianggarkan sebanyak 200 peruntukan baharu akan dimasukkan dalam akta berkenaan.
Beliau berkata, pindaan-pindaan itu dibuat bagi memperkukuhkan elemen pengawalseliaan dan memastikan perundangan koperasi kekal relevan dengan persekitaran ekonomi semasa.
āCadangan penggubalan akta koperasi baharu antaranya, memperkasakan gerakan koperasi dengan meliberalisasikan perundangan dan memperkasakan pengawalseliaan koperasi.
āAkta sedia ada dibuat lebih 30 tahun yang lepas dan tidak ada pindaan sehingga hari ini.
āMelalui sesi libat urus dan kajian agensi kementerian, kita mendapati begitu banyak cadangan pindaan akta yang diperlukan oleh gerakan koperasi iaitu sekitar 200 cadangan pindaan.
āKita akan memperbanyakkan lagi sesi libat urus bersama koperasi-koperasi untuk mendengar cadangan draf awal Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi sebelum kita angkat ke Parlimen untuk proses penggubalan dan pewartaan pada tahun depan dan dijangka dikuatkuasakan tahun 2026,ā katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 2/2024, di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datoā Sri Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP Datoā Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pegawai Eksekutif SKM Datuk Rusli Jaafar, Pengurusan Tertinggi KUSKOP, Ketua-Ketua Agensi KUSKOP dan ahli Majlis yang terdiri daripada 35 orang wakil Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio Koperasi, wakil gerakan koperasi, wakil akademik dan wakil industri.
Mengenai mesyuarat itu, Ewon berkata, ia memberi fokus kepada hala tuju pembangunan gerakan koperasi negara dan mempertingkatkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
Selain itu katanya, mesyuarat juga membincangkan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada pembangunan gerakan koperasi agar terus kekal relevan sebagai penyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara.
āMesyuarat turut dimaklumkan mengenai status pelaksanaan resolusi-resolusi Kongres Koperasi Kebangsaan yang diadakan pada Julai lepas, seterusnya pengisian dan peluncuran sambutan International Year of Cooperative 2025 serta status semasa Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
āIsu-isu yang melibatkan penyelarasan dengan Kerajaan Negeri juga dibincangkan,ā katanya.
