KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mahu Bahagian UPKO menjadi pemudahcara menyampaikan maklumat dasar dan skim-skim pembangunan keusahawanan kerajaan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ini penting bagi membolehkan semua lapisan masyarakat mengetahui skim-skim pembangunan keusahawanan terutamanya inisiatif baharu kerajaan untuk komuniti usahawan.
“Program Kepimpinan dan Keusahawanan anjuran UPKO Bahagian Putatan mempunyai modul sendiri yang ditentukan oleh Bahagian.
“Namun saya mencadangkan supaya UPKO Putatan meneliti semula skim-skim keusahawanan yang terkait dengan pemberian geran, pembiayaan keusahawanan, latihan, pembangunan kapasiti, pensijilan halal dan akreditasi perusahaan sosial yang dilaksanakan oleh kementerian saya dan agensi-agensi supaya sampai kepada golongan sasaran iaitu usahawan perusahan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan Koperasi di kawasan ini.
“Saya telah mengarahkan pegawai di pejabat saya di kementerian dengan agensi-agensi yang ada di Sabah untuk menjadi pemudahcara iaitu bekerjasama dengan Bahagian-Bahagian UPKO untuk menyebar luas maklumat berkaitan dengan skim-skim berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kepimpinan dan Keusahawanan serta Penyerahan Borang Keahlian UPKO Bahagian Putatan, di Dewan Seri Perkumpulan Perempuan Sabah, di sini, pada Ahad.
Ewon berkata, antara skim pembiayaan baharu yang diperkenalkan oleh KUSKOP ialah Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) oleh Bank Rakyat dan Program Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan (I-VIP) oleh Pernas untuk golongan pesara dan veteran.
“Pembiayaan MPPK 2.0 ialah pembiayaan sifar kadar keuntungan khusus untuk para penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
“Manakala Pembiayaan I-VIP pula adalah untuk golongan pesara badan beruniform, pesara kerajaan, pesara agensi korporat atau swasta atau yang menerima ‘Voluntary Separation Scheme’ (VSS) serta ‘Mutual Separation Scheme’ (MSS),” katanya.
Selain itu katanya skim-skim baharu yang diperkenalkan khusus untuk penjaja dan peniaga di Sabah dan Sarawak ialah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu oleh TEKUN Nasional, Pembangunan Premis Tamu Desa dan banyak lagi sebagai tambahan kepada skim-skim sedia ada di kementerian dan agensi-agensi kementerian.