Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU – Wanita UMNO khususnya di Sabah perlu memperkukuhkan kedudukan sebagai tunjang parti dalam menghadapi cabaran dunia politik terutama menjelang Pilihan Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Ketua Wanita UMNO Sabah Senator Datuk ,Noraini Idris berkata, sebagaimana amanat Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan Agung Umno baru-baru ini,selepas kejayaan BN/UMNO Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Nenggiri tumpuan akan beralih kepada PRK Dun Mahkota dan seterusnya PRN Sabah dengan membawa misi besar untuk mengembalikan kegemilangan Umno di Sabah.
“Tugas ini bukannya sesuatu yang mudah walaupun Wanita UMNO menerima pujian dari Presiden dalam gerak kerja yang dilakukan semasa PRK Nenggiri, seharusnya Wanita UMNO tidak leka dan berpuas hati dengan pujian tersebut namun perlu melipat gandakan usaha khususnya kepada Wanita UMNO Sabah kerana bakal menghadapi PRN yang akan menentukan masa depan UMNO di negeri ini” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan Agung Umno di WTC Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam hubungan ini Noraini yang juga exco Wanita UMNO Malaysia mengajak jentera Wanita Umno khususnya di Sabah agar bekerja keras dan mengatur strategi yang tepat bagaimana untuk mencapai kemenangan.
“PRK Sabah akan diadakan selewat-lewatnya bulan Oktober tahun hadapan, bagaimanapun tidak mustahil ianya diadakan lebih awal dari jangkaan, kerana itu Wanita UMNO sebagai tulang belakang parti perlu bersedia memikul tugas serta amanah yang diberikan bagi mempastikan UMNO akan mencapai kejayaan dalam PRN kali ini,” katanya.
Menurut Noraini, yang juga Ketua Wanita UMNO bahagian Penampang ,Wanita UMNO khususnya di Sabah mempunyai tugas untuk menyantuni pengundi,justeru Wanita UMNO perlu turun padang bagi memastikan pengundi -pengundi memberikan kepercayaan kembali kepada parti .
Katanya, tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah ianya agak mencabar namun dengan semangat kerjasama dengan permaufakatan serta mengelak perseteruan sesama sendiri kejayaan pasti akan dapat dicapai.
“ Bukan satu kerja mudah, terutama dengan defisit kepercayaan dialami UMNO sejak PRU14, setiap sayap parti khususnya Wanita UMNO perlu komited dan fokus kepada perjuangan dan melakukan pembaharuan. segera, terancang dan bersasar” katanya.
Tambah Noraini ianya selaras dengan gesaan Presiden Umno Ahmad Zahid yang mahu anjakan dilakukan setiap komponen parti , seiring perubahan dinamika politik negara, dengan kepesatan teknologi digital dan media sosial mampu mempengaruhi arah fikiran serta sokongan rakyat.