TUARAN: Bertekad untuk membawa SK
Malangang Baru ke era kecemerlangan, sekolah berkenaan mengorak langkah dengan melakukan lawatan penanda aras program pengurusan dan perkhidmatan berkualiti guru dan kakitangan SK Mantob, Kiulu.
Rombongan SK Malangang Baru itu diketuai Guru Besarnya Encik John Wayne Linggang bersama semua Guru penolong kanan, guru dan kakitangan bukan mengajar.
Dalam ucapan alu-aluan sempena lawatan itu baru-baru ini, Guru Besar SK Mantob, Tuaran Encik Romie Boliku menyambut baik kehadiran rombongan SK Malangang Baru dan menyatakan kesediaan untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang amalan baik pengurusan dan perkhidmatan berkualiti yang dipraktikkan di sekolah.
Beliau berharap perkongsian itu nanti akan memberi input kearah pengurusan cemerlang dan berkualiti di sekolah.
Guru Besar Romie Boliku merupakan penerima Anugerah pengurusan cemerlang Guru Besar sekolah pedalaman peringkat negeri Sabah pada tahun ini.
Sementara itu, Guru Besar SK Malangang Baru John Wayne, dalam ucapan balas, menekankan betapa bermanfaatnya lawatan penanda aras dan perkongsian itu.
Sempena lawatan itu, kedua-dua sekolah juga sepakat menjalinkan kerjasama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) mencakupi bidang pengurusan pentadbiran, akademik, ko-kurikulum dan hal-ehwal murid.
MOU itu disaksikan semua penolong kanan, guru-guru dan AKP kedua-dua buah sekolah.
Lawatan tersebut mencerminkan semangat kesepakatan yang jitu antara kedua-dua sekolah rendah luar bandar itu, yang terletak di daerah kecil Kiulu.