PRN17: PBS akan kerjasama dengan semua komponen GRS

BEAUFORT: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan bekerjasama dengan semua komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Advertisements

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, PBS akan berjuang dalam GRS.

“PBS akan tetap bersama-sama dalam GRS yang dipimpin oleh Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri.

“Saya percaya ini adalah masa untuk kita meningkatkan usaha kita dan kalau dapat kita perlu memenangkan GRS di semua kawasan kita bertanding.

“PBS akan pegang janji, we are with GRS,” tegasnya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-39 bagi lima Bahagian Pedalaman Bawah – N.30 Bongawan, N.31 Membakut, N.32 Klias, N.34 Lumadan dan N.35 Sindumin, di Dewan Pa’ Musa, di sini, pada Ahad.

Beliau menafikan dakwaan video tular yang sengaja dibuat dan disebarkan oleh pihak pembangkang di media sosial yang mengatakan PBS-STAR akan bertanding solo pada PRN akan datang.

Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II turut menyeru semua ketua bahagian termasuk yang bukan wakil rakyat bekerja keras untuk meningkatkan kekuatan parti di bahagian masing-masing.

Beliau mahu semua ahli parti terus bekerja untuk memastikan hak-hak rakyat Sabah terpelihara.

Mengakui bukan senang menuntut hak-hak ini walaupun terkandung dalam Perlembagaan, beliau mengingatkan semua ahli PBS untuk meneruskan perjuangan.

Seramai lebih 800 ahli PBS hadir pada mesyuarat itu.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada kelima-lima bahagian PBS dan semua cawangan mereka kerana berjaya mengadakan AGM peringkat bahagian.

Sehubungan itu, Naib Presiden PBS, Datuk Haji Ruslan Muharam yang juga Ketua Bahagian N.34 Lumadan turut mengucapkan terima kasih di atas kehadiran Dr. Joachim dalam mesyuarat pada kali ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim; Naib-naib Presiden, Datuk Johnny Mositun, Datuk Arthur Sen; Ketua- ketua Bahagian, Jitim Abak, Egol Onsim, Hamim Gunsim dan Angian Alai; Ketua Wanita, Datin Malianah Ugau; Setiausaha Kerja PBS, Mesilus Roman, Ketua Pemuda, Dr. Christoper Mandut; Pengerusi Penganjur merangkap Timbalan Ketua, Dioslin Alin; Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Exco Wanita, Exco Pemuda serta pemerhati/ Ketua Bahagian komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Related Articles

253FansLike

Latest Articles